DBKK Perluas Sistem Pelupusan Sampah Sendiri ke Inanam Taipan Bermula Hari Ini

DBKK Perluas Sistem Pelupusan Sampah Sendiri ke Inanam Taipan Bermula Hari Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperluaskan pelaksanaan Sistem Pelupusan Sampah Sendiri (SPSS) ke kawasan Inanam Taipan sebagai langkah meningkatkan tahap kebersihan, mengurangkan lambakan sampah dan mengekang pembuangan sisa secara tidak terkawal.

DBKK menerusi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal memaklumkan, hebahan notis pelaksanaan SPSS telah dilaksanakan dengan kerjasama pihak pengurusan Inanam Taipan pada 19 dan 20 Januari lalu, sebelum sistem itu dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Februari (hari ini).

Menerusi pelaksanaan SPSS, penduduk serta pengusaha premis makanan diwajibkan melupuskan sisa masing-masing terus ke lori kompaktor mengikut jadual yang ditetapkan, manakala penggunaan rumah sampah tidak lagi dibenarkan di kawasan terlibat. Hanya sisa domestik dibenarkan untuk dilupuskan di bawah sistem ini.

Pengutipan sampah akan dilaksanakan dua kali sehari di setiap lokasi, dengan tempoh 20 minit bagi setiap sesi. Bagi Tapak 1 berhampiran Ibis Hotel, pengutipan dijadualkan pada jam 9.00 hingga 9.20 pagi dan 5.00 hingga 5.20 petang, manakala Tapak 2 berhampiran Mix Store pada jam 9.30 hingga 9.50 pagi dan 5.30 hingga 5.50 petang.

DBKK memberi peringatan bahawa individu atau pengusaha premis yang didapati membuang sampah merata-rata atau melupuskan sisa di luar waktu ditetapkan boleh dikenakan kompaun di bawah Undang-undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005, dengan denda tidak kurang RM20 dan tidak melebihi RM500 bagi setiap kesalahan.

Dalam pada itu, DBKK merakamkan penghargaan kepada KK Taipan Management sebagai jawatankuasa pengurusan pertama yang menyahut pelaksanaan SPSS, sekali gus menunjukkan komitmen terhadap usaha memperkasakan kebersihan dan kelestarian bandar raya.

Untuk rekod, antara lokasi lain yang telah melaksanakan SPSS sejak diperkenalkan pada 2019 ialah Kampung Air, Medan Selera Anjung Senja, Bandaran Berjaya, Kompleks Sinsuran serta Jalan Padang dan Lorong Dewan.