Masidi Seru Ahli GRS Hayati Amanah, Perkukuh Kesejahteraan Rakyat

Masidi Seru Ahli GRS Hayati Amanah, Perkukuh Kesejahteraan Rakyat

0
SHARE

KUNDASANG: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun mengingatkan semua ahli parti dan pimpinan GRS supaya menghayati amanah yang dipikul serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, integriti dan keikhlasan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, kestabilan politik yang dikecapi Sabah ketika ini merupakan asas penting kepada pembangunan ekonomi, keyakinan pelabur serta kesejahteraan rakyat, dan ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya melalui tadbir urus yang cekap dan berkesan.

“Mandat yang diberikan rakyat kepada GRS bukan untuk diraikan semata-mata, sebaliknya menuntut kita bekerja lebih cekap, efisien dan berintegriti. Setiap jawatan dan lantikan adalah amanah besar untuk berkhidmat, bukan untuk mengejar penghargaan atau pujian,” katanya.

Masidi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Makan Malam Parti Gagasan Rakyat Sabah N.37 Karanaan bersama N.36 Kundasang dan N.38 Paginatan di Hotel Perkasa Kundasang, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karanaan merangkap ADUN Karanaaan menegaskan, komitmennya sebagai wakil rakyat untuk terus memastikan suara rakyat didengar, selain memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, peningkatan kualiti pendidikan, kemudahan kesihatan serta pelaksanaan program yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah.

Dalam pada itu, Masidi merakamkan penghargaan kepada para pengundi dan ahli parti atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk terus memikul amanah sebagai wakil rakyat, sambil menegaskan sokongan tersebut menjadi dorongan untuk beliau terus berkhidmat dengan penuh tanggungjawab.

“Marilah kita bersama-sama memastikan Sabah terus maju, rakyat sejahtera dan kerajaan berfungsi dengan cekap demi masa depan negeri yang lebih gemilang,” katanya.