TAWAU: Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung yang baharu di Taman Sawit, Balung, berjaya disiapkan dalam tempoh tiga bulan hasil sumbangan pelbagai pihak, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan agama di kawasan berkenaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembinaan awal itu menjadi permulaan sebelum kerajaan negeri menyalurkan bantuan lanjut bagi membesarkan kemudahan sekolah tersebut.
Beliau turut menzahirkan kekaguman terhadap inisiatif pengurusan sekolah yang memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) selaras dengan perkembangan semasa dalam bidang pendidikan.
“Saya tertarik hati, ini sekolah agama yang pertama menggunakan AI, ia sangat menarik. Inilah zaman yang kita hadapi pada masa akan datang, teknologinya serba canggih dan bukan saja di sekolah biasa, tapi di sekolah agama juga,” katanya selepas merasmikan SAN Apas Balung pada Ahad.
Menurutnya, kerajaan negeri menyokong cadangan pihak pengurusan sekolah untuk mewujudkan sekolah menengah agama sebagai kesinambungan kepada pelajar sedia ada.
“Cadangan itu cukup baik kerana keperluan masyarakat Islam untuk pendidikan menengah agama amat tinggi. Perancangan menambah sekolah menengah agama, malah ke peringkat lebih tinggi seperti universiti Islam, adalah langkah yang wajar,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap EXCO Agama negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib; serta Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Sementara itu, Ketua Menteri turut menunaikan solat Zohor di Masjid Al-Ansar, Taman Sawit Balung dan menyampaikan sumbangan Bahagian Zakat kepada golongan asnaf yang layak.






