TAWAU: Kerajaan negeri akan memantau kesan kenaikan tarif elektrik terhadap pengguna susulan pelaksanaan semakan semula kadar elektrik di Sabah dan Labuan yang berkuat kuasa mulai hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kenaikan yang dikenakan adalah minimum dan tidak membebankan majoriti pengguna.
“Kita akan sentiasa melihat kesannya, tapi saya ingat kesannya cuma sedikit. Kalau sekarang seseorang membayar RM100, dia cuma tambah mungkin RM15 saja. Jadi tidaklah membebankan sangat. Kalau RM15 kita dapat elektrik yang bagus, itulah rasionalnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung baharu di Taman Sawit, Balung.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelaksanaan semakan tarif oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) bermula 1 Februari 2026, yang menyaksikan pelarasan kadar purata asas daripada 34.52 sen/kWj kepada 39.70 sen/kWj.
Menurutnya, kadar baharu itu telah diluluskan Jemaah Menteri selepas mengambil kira keperluan semasa Sabah.
“Tarif di Sabah masih rendah berbanding di Semenanjung. Kita cuma naik lima sen atau 15 peratus saja dan ia tidak begitu membebankan rakyat biasa, mungkin melibatkan 70 hingga 80 peratus pengguna di Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan kos penjanaan tenaga yang semakin meningkat.
“Perkara ini tidak dapat dielak kerana kita menanggung kos yang tinggi. Jadi ia perlu untuk kita mengatasi semua ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Persekutuan ketika ini menyalurkan subsidi bekalan elektrik di Sabah berjumlah kira-kira RM700 juta setahun atau RM3.5 bilion dalam tempoh lima tahun.
“Keadaan ini tidak boleh berterusan. Jika naik sedikit, sekitar lima sen, ia boleh membantu mengurangkan subsidi Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Tambah beliau, Kabinet Negeri telah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Energy Commission of Sabah (ECoS) dan SE selepas mengambil kira peningkatan kos operasi penjanaan tenaga di negeri ini.






