TAWAU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, akan memohon peruntukan negeri dan persekutuan bagi menaik taraf infrastruktur serta kemudahan pembelajaran di Kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) Tawau, termasuk pembaikan pagar perimeter yang uzur dan penyediaan papan pintar.
Beliau berkata permohonan dana akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui Kabinet Negeri serta Kementerian Pendidikan Malaysia bagi meningkatkan keselamatan kampus dan mewujudkan persekitaran lebih kondusif untuk pelatih dan kakitangan.
“Kementerian turut mengenal pasti keperluan melengkapkan IPG Tawau dengan papan pintar bagi menyokong kaedah pengajaran dan latihan moden untuk bakal pendidik.
“Langkah ini selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh pendigitalan dalam pendidikan dan memastikan guru pelatih terdedah kepada teknologi bilik darjah semasa,” katanya.
Isu liputan internet dan telekomunikasi di sekitar kampus turut dibangkitkan, dengan kementerian memaklumkan perkara itu akan dibawa kepada perhatian pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menangani jurang capaian yang menjejaskan pembelajaran dalam talian.
Pengurusan kampus juga memohon sebuah bas baharu bagi menggantikan kenderaan lama yang masih digunakan, demi meningkatkan mobiliti dan keselesaan pelatih serta kakitangan.
Permohonan peruntukan dan keperluan fasiliti itu dibincangkan semasa lawatan kerja menteri ke IPG Tawau, yang turut menilai aspek keselamatan, infrastruktur dan keperluan latihan di kampus berkenaan.
“Kementerian kekal komited bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memperkukuh fasiliti latihan perguruan dan menyokong pembangunan pendidikan berkualiti di negeri ini,” katanya.






