KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menggesa parti politik dalam negara ini untuk mengambil kira cadangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dengan sebaiknya.
Beliau berkata dalam sebuah kenyataan malam tadi bahawa TUJUH (7) cadangan yang digariskan Muhyiddin dalam perutusan khas beliau petang semalam adalah sebuah peluang keemasan bagi rakyat Malaysia.
“Inilah peluang bagi kita membuang perbezaan politik dan menjalinkan satu kerjasama dalam mengalahkan musuh sebenar iaitu COVID-19 yang kian berleluasa dan sejurusnya menyelamatkan nyawa serta memulihkan ekonomi negara…
“Sekarang bukanlah masa untuk bertengkar demi jawatan Perdana Menteri. Hal itu boleh kita selesaikan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) nanti,” katanya.
Tapi sekarang bukanlah masa yang tepat untuk membuang undi.
Kata Maximus, rakyat layak mendapat perkhidmatan yang lebih baik daripada kerajaan sedia ada dan bukannya dipaksa keluar mengundi dalam situasi pandemik ini.
“Perdana Menteri telah menyediakan peluang kerjasama di antara semua parti bagi membangunkan semula negara ini…
“Saya menyeru kepada semua, khususnya rakan seperjuangan bagi mengambil peluang ini dan meletakkan isu keperluan kestabilan politik Malaysia sebagai keutamaan kita.
“Dengan itu kita boleh bersama membawa Malaysia melonjak ke hadapan sebagaimana komitmen kita terhadap perpaduan,” kata beliau.