Kempen Terancang Cemarkan Reputasi Ketua Menteri – Nizam

Kempen Terancang Cemarkan Reputasi Ketua Menteri – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, mengecam tindakan segelintir pihak yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan hantaran berunsur fitnah bagi mencemarkan imej Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurut Nizam, hantaran yang menyiratkan seolah-olah Ketua Menteri bertemu Albert Tei bagi tujuan berkaitan skandal perlombongan di Sabah adalah manipulasi berniat jahat dan merupakan sebahagian daripada kempen persepsi untuk menjejaskan reputasi beliau.

“Ketua Menteri dalam kapasiti beliau sebagai ketua eksekutif negeri sering berjumpa dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam mesyuarat rasmi yang turut dihadiri pegawai-pegawai kanan kerajaan. Namun, tindakan mengaitkan pertemuan rasmi itu dengan skandal adalah tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa Ketua Menteri tidak pernah menafikan mengenali atau pernah bertemu Albert, namun teguh menegaskan bahawa tiada sebarang salah laku dan semua tuduhan perlu dibuktikan melalui proses undang-undang, bukannya disebarkan melalui kempen fitnah media sosial.

Nizam turut memaklumkan, laporan daripada sebuah portal berita tempatan mendedahkan bahawa Albert Tei sendiri merancang ‘aksi’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi mencetuskan drama persepsi menjelang sebutan kes rasuahnya di Mahkamah Kota Kinabalu.

“Albert merancang langkah ini lebih awal untuk menimbulkan kekeliruan dan meraih simpati awam dengan mendakwa kononnya wujud campur tangan politik dalam siasatan terhadap dirinya,” jelas Nizam.

Beliau menegaskan, tindakan tersebut bukan lagi bersifat mempertahankan diri, tetapi satu operasi persepsi terancang untuk mengalihkan perhatian daripada kes dan siasatan yang sedang dihadapi Albert.

Nizam menambah, Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Hajiji Noor kekal komited dan telus, serta telah memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam sebarang siasatan yang dijalankan.