Warisan Patut Tunjukkan Pencapaian, Bukan Main Sentimen Kaum, Agama

Warisan Patut Tunjukkan Pencapaian, Bukan Main Sentimen Kaum, Agama

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan SME Bumiputera Sabah (SBCCS), Dr Raymond Alfred menasihati Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal supaya berhenti menggunakan isu kaum dan agama untuk menonjolkan kekuatan parti itu.

Beliau berkata, Shafie sepatutnya menumpukan kepada pencapaian wakil rakyat Warisan, cabaran yang mereka hadapi serta bagaimana rakyat boleh terus menyokong usaha mereka walaupun di luar kerajaan.

Raymond mengulas kenyataan Shafie baru-baru ini yang mengaitkan kemiskinan dalam kalangan masyarakat KDMR (Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus) dengan terlalu banyak parti politik mewakili mereka.

Menurut Raymond, kajian akar umbi selama enam bulan mendapati punca utama kemiskinan dalam komuniti KDMR bukan perpecahan politik, tetapi ketidaksamaan dalam pengagihan dana dan pelantikan politik di peringkat kampung.

“Ketua kampung dan ahli JKKK sering dilantik berdasarkan kesetiaan politik, bukan kecekapan. Akibatnya, projek pembangunan dan bantuan hanya disalurkan kepada penyokong parti,” katanya.

Beliau menegaskan budaya politik kepartian yang berakar sejak zaman BN dan Umno termasuk di bawah kepimpinan Shafie telah lama menjejaskan keadilan pembangunan di luar bandar.

“Apabila pembangunan diagih ikut garis parti, mereka yang tidak sehaluan akan dipinggirkan. Ini tidak adil dan hanya memperluas jurang kemiskinan,” ujarnya.

Raymond turut mengecam penggunaan retorik perkauman dan keagamaan oleh Shafie sebagai taktik lama yang memecahbelahkan rakyat. Katanya, kepimpinan sebenar dinilai melalui tanggungjawab dan tindakan, bukan jawatan.

“Ahli Warisan patut malu jika presiden mereka perlu main isu kaum dan agama untuk tarik sokongan, terutama menjelang PRN-17,” tegasnya.

Beliau menyeru agar budaya politik baharu di Sabah berasaskan ketelusan, merit dan perpaduan, sambil menegaskan bahawa kepimpinan sejati ialah yang menyatukan rakyat dan memperkasakan komuniti.