KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang memantau proses penarikan semula produk berjenama Prego keluaran Malaysia yang didapati rosak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk yang terlibat dalam penarikan balik adalah Prego Sos Pasta Berkrim Carbonara Cendawan (665 gram) dengan nombor siri 2022081716 bertarikh luput 17 Ogos 2023 dan kod masa 22:18 hingga 23:20.
“Pihak syarikat Campbell Cheong Chan (M) Sdn Bhd telah mengenal pasti punca kerosakan produk tersebut disebabkan kesilapan semasa pemprosesan dan sedang dalam proses penarikan balik produk terlibat di pasaran secara sukarela…
“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan turut menerima notifikasi dari syarikat berkenaan yang mengesahkan produk tersebut turut dijual di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Menjelaskan mengenai perkara terbabit, Noor Hisham menjelaskan penarikan balik produk tersebut disebabkan terdapat beberapa tanda kerosakan seperti bau yang tidak menyenangkan, warna berubah, rupa berair dan lapisan cecair yang terpisah.
Katanya, pengguna yang telah membeli hendaklah tidak memakan produk tersebut dan bagi yang telah mengambilnya dinasihatkan berjumpa pegawai perubatan sekiranya berasa tidak sihat atau mengalami gejala keracunan makanan.





