Universiti Perubatan Cina Anhui Tubuh Kampus Cawangan Pertama di Kota Kinabalu

Universiti Perubatan Cina Anhui Tubuh Kampus Cawangan Pertama di Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Perubatan Tradisional Cina Anhui (AUCM) dari Wilayah Anhui, China, akan menubuhkan kampus cawangan luar negara pertamanya di Kota Kinabalu, Sabah.

Naib Canselor AUCM, Profesor Xu Fan, mengumumkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pada Ogos lalu.

Langkah ini mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri Sabah selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 bagi memperkukuh pembangunan modal insan dan pertukaran budaya antara Sabah dan China.

Projek itu dijalankan dengan kerjasama Borneo Pacific Group yang diketuai Raymond Chan, serta disokong oleh Datuk Dr Roland Chia dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Berhad, Dr Firdausi Suffian.

Kampus AUCM di Kota Kinabalu akan menawarkan program pengajian dalam Bahasa Inggeris kepada pelajar tempatan dan antarabangsa, termasuk Ijazah Perubatan Tradisional Cina, TCM dan Pentadbiran Perniagaan, serta TCM dan Ekonomi.

Penubuhan kampus ini dijangka menjadi pemangkin kepada kerjasama pendidikan China-Malaysia, memperkukuh pembangunan bakat, dan mengangkat Sabah sebagai hab pendidikan serantau baharu di ASEAN.