KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menegaskan komitmennya untuk terus memberi ruang dan sokongan kepada anak-anak tempatan yang terlibat dalam bidang seni, penstriman dan industri kreatif melalui platform penstriman digital baharu, Borneo.TV.
Menurut Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk bertemu serta berbincang dengan penggiat seni, pempengaruh dan pemain industri kreatif di negeri ini bagi menambah baik ekosistem seni dan kandungan digital.
“Dakwaan kononnya penggiat industri kreatif tempatan diabaikan atau dipinggirkan tidak sepatutnya timbul. Pintu kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan dan kerisauan semua pihak,” tegas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menekankan bahawa anak-anak Sabah merupakan keutamaan utama dalam pembangunan kandungan Borneo.TV yang kini menjadi platform rasmi menampilkan suara, budaya dan cerita Sabah ke peringkat antarabangsa.
“Borneo.TV bukan hanya sekadar platform penstriman. Ia adalah ruang strategik untuk mempamerkan bakat, idea dan kejayaan rakyat Sabah kepada dunia. Anak-anak Sabah mesti ambil peluang ini untuk mengetengahkan kisah-kisah kita dengan bangga,” katanya.
Pelancaran rasmi Borneo.TV oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 1 Julai lalu, memperkukuh usaha kerajaan menjadikan platform digital sebagai medium utama menyampaikan dokumentari asli, kandungan sahih serta mempromosikan keindahan alam dan warisan budaya Sabah.
Beroperasi dengan slogan *Cerita Sabah di Mata Dunia”, Borneo.TV disasarkan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan modal insan dalam bidang penstriman dan penyiaran digital serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan kerjasama kepada syarikat-syarikat produksi tempatan.
Rosmadi menyeru syarikat produksi Sabah untuk mengambil inisiatif menjadi penyedia kandungan (content provider) dan menghasilkan karya berkualiti tinggi yang boleh diketengahkan hingga ke pasaran antarabangsa.
“Kini adalah masanya untuk kita buktikan keupayaan anak-anak Sabah. Borneo.TV adalah pentas terbaik untuk hasil kerja kita ditonton, dihargai dan dipasarkan ke seluruh dunia,” tambahnya.
Borneo.TV dijangka memperkasa naratif tempatan Sabah melalui pendekatan digital yang moden, inklusif dan global satu langkah seiring dengan aspirasi pembangunan Sabah Maju Jaya.






