PITAS: Seramai lebih 2,000 pelajar dari tujuh buah sekolah di daerah Pitas kini menerima bantuan secara langsung untuk keperluan persekolahan harian mereka menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) baharu oleh SMJ Energy Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan MyKasih.
Inisiatif ini telah dilancarkan oleh Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Masidi Manjun, dalam satu majlis di SMK Kanibungan, sini,
hari ini.
“Program ini mencerminkan komitmen SMJ Energy untuk memastikan manfaat hasil industri minyak dan gas Sabah disalurkan semula kepada rakyat, khususnya anak-anak kita yang merupakan masa depan negeri ini,” kata Masidi dalam ucapannya.
“Jika sedikit bantuan ini mampu mengubah haluan hidup seorang pelajar, maka ia merupakan satu pelaburan yang sangat besar nilainya.” katanya lagi.
Program ini melibatkan tiga buah sekolah menengah dan empat buah sekolah rendah di Pitas, dan menyediakan bantuan tunai tanpa sentuh bagi pembelian makanan dan alat tulis di kantin serta koperasi sekolah.
Kaedah ini memastikan ketelusan dan bantuan disalurkan
terus kepada pelajar.
Masidi turut menekankan bahawa Pitas adalah antara daerah yang menghadapi cabaran sosioekonomi paling besar di Sabah, dan setiap anak harus diberi peluang yang sama
tanpa mengira latar belakang.
Yayasan MyKasih pula memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program ini, termasuk memantau dan menyediakan laporan impak berkala.
“Inisiatif ini melengkapi usaha berterusan pihak sekolah, pegawai pendidikan, dan pertubuhan tempatan di Pitas. Kami sedar bahawa memajukan pendidikan luar bandar
memerlukan kerjasama pelbagai pihak,” kata Masidi.






