Patuhi Had Laju, Utamakan Nyawa Penumpang Bas Ekspres – Bung

Patuhi Had Laju, Utamakan Nyawa Penumpang Bas Ekspres – Bung

0
SHARE

KOTA KINABALU: Susulan nahas tragik bas ekspres UPSI di Gerik, Perak, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa pemandu bas ekspres di negeri ini supaya mematuhi had laju dan sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berkata insiden yang meragut nyawa pelajar universiti itu seharusnya menjadi pengajaran buat semua pengendali dan pemandu bas di seluruh negara, khususnya di Sabah.

“Jangan jadikan tekanan masa sebagai alasan untuk memandu secara melulu. Setiap penumpang adalah nyawa yang diamanahkan oleh orang tersayang. Sekelip mata kecuaian boleh meragut nyawa,” katanya.

Ketua Umno Sabah itu turut menggesa syarikat bas ekspres meneliti semula jadual pemandu bagi mengelak keletihan dan memastikan pemandu dapat memberi tumpuan penuh semasa memandu.

“Pengurusan risiko mesti diutamakan berbanding keuntungan. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga perlu mempertingkatkan pemeriksaan terhadap bas dan rekod pemandu.

“Keselamatan tidak boleh dijadikan pilihan. Jangan tunggu tragedi serupa menimpa Sabah baru mahu ambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan.