KOTA KINABALU: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) melancarkan Buku Pelan Strategik Hala Tuju V2050 sebagai panduan transformasi industri getah negeri ke arah moden, berdaya saing dan inklusif menjelang tahun 2050.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pelan strategik itu membuktikan kesediaan LIGS menangani cabaran semasa industri getah, selain menetapkan hala tuju jangka panjang sejajar aspirasi pembangunan negeri dan nasional.
Beliau berkata pelan berkenaan menyokong agenda kementerian termasuk sasaran meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah kepada RM5,000 sebulan menjelang 2050, di samping memodenkan sektor pertanian melalui teknologi dan inovasi serta memastikan kelestarian alam sekitar.
“Pelan Strategik V2050 hadir tepat pada masanya untuk mentransformasikan industri getah daripada sektor tradisional kepada industri moden, berteknologi tinggi dan bernilai tambah,” katanya ketika merasmikan pelancaran pelan itu di Wisma Pertanian Sabah pada Khamis.
Jamawi berkata industri getah Sabah berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidakstabilan harga, persaingan global, kekangan tenaga kerja dan tuntutan pematuhan piawaian kelestarian antarabangsa, sekali gus memerlukan pendekatan baharu yang lebih strategik.
Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan LIGS sebagai agensi pelaksana berwibawa, termasuk kejayaan melaksanakan Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat – Usahawan Tani (IPR-INTAN) melalui pembangunan ladang nanas MD2, yang kini membuka laluan kepada mandat baharu dalam projek tanaman padi.
Jamawi berkata pengaktifan anak syarikat LIGS Solutions turut memperkukuh peranan komersial lembaga itu, menjadikan LIGS sebuah organisasi hibrid yang menggabungkan fungsi pembangunan dan keupayaan komersial mampan, tanpa meminggirkan kepentingan pekebun kecil.






