Isu Dewan Gimnastik Uzur: Nizam Komited Ambil Tindakan Segera

Isu Dewan Gimnastik Uzur: Nizam Komited Ambil Tindakan Segera

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah memberi komitmen untuk menangani isu aduan berkaitan keadaan uzur Dewan Gimnastik di Kompleks Sukan Likas demi memastikan fasiliti sukan negeri berada dalam keadaan selamat dan selesa.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, beliau telah menerima maklumat berhubung aduan tersebut dan mengarahkan pihak Lembaga Sukan Negeri Sabah yang bertanggungjawab ke atas semua fasiliti sukan supaya menjalankan pemeriksaan serta mengemukakan laporan segera kepada kementerian.

“Saya telah meminta pengurus Lembaga Sukan yang bertanggungjawab melihat aduan ini dan membuat laporan segera supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis menandatangani kerjasama penganjuran Borneo International Marathon antara Alliance Bank dan Kinabalu Running Club, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebagai menteri, beliau komited membaiki kelemahan yang dikenal pasti, manakala fasiliti yang berada dalam keadaan baik akan terus dipertingkat dan disenggara.

Nizam berkata, beliau juga akan mengadakan lawatan ke seluruh Sabah bagi meninjau sendiri keadaan fasiliti sukan sedia ada bagi mendapatkan gambaran sebenar di lapangan.

“Saya mohon diberikan sedikit masa kerana saya akan melihat sendiri keadaan fasiliti-fasiliti sukan di seluruh negeri,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang sentiasa menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan aduan serta maklum balas demi penambahbaikan berterusan.

Katanya, kementerian dan Lembaga Sukan Negeri Sabah sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dengan fokus utama membangunkan belia, memajukan sukan dan memperkasa ekonomi kreatif di negeri ini.

Nizam turut memaklumkan bahawa Ketua Menteri Sabah memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan hala tuju kementerian bagi menjadikan Sabah sebuah negeri sukan, melahirkan belia yang berdikari serta meningkatkan kemahiran kreatif rakyat bagi menjana pendapatan.

“Keutamaan kita ialah memastikan kemudahan sukan berada dalam keadaan baik dan selesa. Jika kekangan bajet wujud, kita akan berusaha mendapatkan peruntukan kerana suasana latihan yang kondusif penting untuk meningkatkan prestasi atlet sehingga mampu melahirkan juara,” katanya.