Unsur Pengisahan Perlu Diterap Dalam Program Pelancongan Luar Bandar Sabah – Joniston

Unsur Pengisahan Perlu Diterap Dalam Program Pelancongan Luar Bandar Sabah – Joniston

0
SHARE
Datuk Joniston menerima cendera kenangan daripada Anna Vivienne (kiri) pada pelancaran bukunya bertajuk "Hauntings and Ghostly Whispers"...(Sumber Foto: Ihsan Edmund Samunting/STB)

KOTA KINABALU, SABAH – Unsur pengisahan perlu diterap dalam program-program pelancongan luar bandar terutamanya di inap desa.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pengalaman pelancong akan lebih dipertingkatkan dengam selitan cerita rakyat.

“Kita ada aktiviti trekking, memerhati burung, pengenalan herba-herba tradisional dan sebagainya untuk pelancong yang datang ke Sabah…

“Bagaimanapun, pelancong yang ke luar bandar mungkin bukan sahaja berminat dengan persekitaran alam semula jadi dan gaya hidup di kampung tetapi juga kepercayaan dan adat mereka,” katanya.

Beliau percaya bahawa kaedah pengisahan adalah satu aktiviti yang patut menjadi sebahagian daripada program-program pelancongan khsusnya di destinasi luar bandar.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah bercakap demikian semasa melancarkan buku bertajuk “Hauntings and Ghostly Whispers” (bisikan yang menghantui) tulisan Anna Vivienne, di Rumah Terbalik Tamparuli pagi tadi.

Katanya aktiviti pengisahan, apabila dilakukan dengan cara betul dan halus, boleh mewujudkan hubungan emosi yang mendalam antara pengunjung dan tuan rumah mereka.

“Hubungan emosi ini adalah satu bentuk pelancongan yang hebat, di mana persefahaman dan rasa hormat dapat dibina diantara pelancong dan tuan rumah mereka…

“Emosi adalah tindak balas kuat yang boleh mewujudkan ikatan silaturahim, di mana dalam konteks pelancongan, boleh menghasilkan kesan mendalam iaitu juga salah sebuah bentuk promosi yang membuat pengunjung akan datang semula,” tambahnya.

Datuk Joniston Bangkuai (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran buku bertajuk “Hauntings and Ghostly Whispers” yang ditulis oleh Anna Vivienne (kiri). Hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman (kanan); Pengarah Arkib Negeri Sabah Majella Tan Marquez (dua dari kanan), Presiden Persatuan Pelancongan Tuaran Alexander Yee (ketiga kiri); dan Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah Hajah Fatimah Abdillah (kedua kiri)…(Sumber Foto: Ihsan Edmund Samunting/STB)

Katanya lagi, dengan mendalami kisah sejarah penubuhan sesebuah inap desa atau kampung itu, pengunjung boleh “menjiwai” sepenuhnya pakej percutian yang disediakan itu.

“Apabila pemandu pelancong sudah mengasah kemahiran bercerita ini, mereka bolehlah menyelitkan aspek rohani dalam aktiviti seperti trekking, yang bukan sahaja menghiburkan tetapi bermaklumat untuk pelancong mereka…

“Sektor pelancongan adalah kejayaan kebanyakkan ekonomi di Sabah. Hasil ekonomi dan beribu-ribu pekerjaan dapat dijana melalui industri ini yang seterusnya boleh membangunkan infrastruktur destinasi-destinasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, peluang pekerjaan dan pendapatan yang dicipta oleh aktiviti pelancongan inap desa ini adalah penting untuk membawa pembangunan kepada kawasan berkenaan.

“Pemandu pelancong, penjual kraftangan dan makanan serta penari tradisional sudah tentu menjana pendapatan dan mungkin, pada masa hadapan, pencerita juga dapat mengisahkan sesuatu yang menarik contohnya pada waktu malam untuk tetamu,” tambahnya.

Mengulas mengenai buku tersebut, beliau berkata ia adalah cenderahati yang baik untuk pelancong yang tidak mahu mengangkat bagasi yang berat.

“Ia boleh menjadi kenang-kenangan kepada mereka yang berminat untuk mengetahui kepercayaan, tahyul dan pantang larang penduduk setempat…

“Buku ini juga boleh digunakan oleh pembuat filem yang ingin mencipta siri dan boleh dijadikan panduan kepada mereka yang ingin memasukkan unsur pengisahan dalam pakej pelancongan mereka,” ujarnya.