Pelajar Perlu Lengkapkan Diri Dengan Kemahiran Lain Selain Daripada Pencapaian Akademik –...

Pelajar Perlu Lengkapkan Diri Dengan Kemahiran Lain Selain Daripada Pencapaian Akademik – Bung

0
SHARE
Bung (kedua kanan) diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif SESB Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid (kanan) menyampaikan replika cek berupa sumbangan kewangan dari SESB kepada Guru Besar Sk Kuamut sempena program tersebut...

KINABATANGAN, SABAH – Golongan pelajar diingatkan agar mempunyai kesedaran dalam melengkapkan diri dengan kemahiran lain dan tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik cemerlang untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, pelajar juga perlu memberikan tumpuan kepada bidang kemahiran yang amat diperlukan untuk memasuki alam pekerjaan seiring dengan perkembangan semasa.

“Selain tumpuan kepada bidang akdemik pelajar juga jangan ketepikan bidang teknik dan vokasional. Ini dapat menjadikan golongan pelajar sebagai modal insan berkemahiran tinggi, berinovasi serta mampu menghadapi cabaran alaf baharu yang relevan dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam ucapan perasmian program Ceria Ke Sekolah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya itu berkata lagi, kelahiran golongan modal insan seperti ini menuntut kepada peningkatan bilangan pelajar dalam bidang teknik dan vokasional yang dianggap sebagai satu pilihan baharu kepada aliran pembelajaran yang sedia ada.

“Jika kita (pelajar) kurang cemerlang dalam bidang akademik jangan mudah berputus asa. Bidang kemahiran merupakan pilihan terbaik yang boleh mencorak masa depan untuk mencari bidang pekerjaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Bung berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RM-12) kerajaan terus memperkasa bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dengan peruntukan sebanyak RM 6 bilion.

Menurut beliau sebanyak RM300 juta disediakan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK iaitu peningkatan sebanyak RM 100 juta.

Tambah beliau lagi, ibu bapa juga perlu memberikan galakkan kepada anak-anak mereka untuk belajar dalam bidang kemahiran selain bidang akademik.

Mengulas program tersebut, Bung berkata kerajaan mengalu-alukan kerjasama agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memajukan modal insan melalui pendidikan di negeri ini.

“Sinergi pihak berkaitan menerusi perkongsian idea pintar dan bantuan yang lain mampu memaksimumkan kualiti pendidikan di negeri ini…

“Agenda memberdaya insan adalah suatu usaha berterusan dan ia tidak akan berjaya sekiranya tiada kerjasama pelbagai pihak,” katanya.