RM16.42 JUTA UNTUK PROGRAM PEMBANGUNAN KEPIMPINAN BELIA: KM HAJIJI

RM16.42 JUTA UNTUK PROGRAM PEMBANGUNAN KEPIMPINAN BELIA: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin bergambar kenang-kenangan bersama para belia yang menghadiri Program Bicara Pemimpin Muda Bersama Ketua Menteri sempena sambutan peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 Peringkat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, hari ini ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata program yang akan dilaksanakan meliputi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial.

Beliau berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha memperkasa modal
insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.

Menurutnya, sejak beliau memimpin kerajaan negeri September 2020, pelbagai
inisiatif baharu telah diperkenalkan kepada golongan belia di negeri ini.

Katanya, dalam bidang pendidikan, kerajaan telah melaksanakan beberapa program
termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) (BUDI), Bantuan
Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang menyasarkan para pelajar yang menduduki
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Insiatif lain ialah Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah
(BISBAH), Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sabah
(BAGUS), Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA)”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Pemimpin Muda Bersama Ketua
Menteri sempena sambutan peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 Peringkat Negeri
Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan turut mewujudkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS)
yang menjadi landasan bagi membolehkan lebih ramai belia Sabah berpeluang ke IPT di dalam dan di luar negara.

Menurutnya, kerajaan juga menubuhkan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia
(SEMESTA) untuk memayungi persatuan mahasiswa di semua IPT seluruh negara
sekaligus bagi mahasiswa menyuarakan pandangan, idea serta cadangan untuk
pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.

Katanya, komitmen kerajaan negeri tidak hanya dalam aspek pendidikan, malah juga
bidang keusahawanan dengan beberapa skim keusahawanan diperkenalkan seperti
Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) yang membantu belia yang berkecimpung dalam perniagaan kembali bangkit setelah terjejas akibat penularan COVID-19.

“Program ini akan diteruskan dan saya menyarankan Majlis Belia Sabah (MBS) dapat menjadi penggerak penting kepada pelaksanaan SYABAS pada tahun ini”, tegasnya.

Beliau berkata, pelaksanaan Felo SMJ yang bermula pada tahun lalu, akan diteruskan
pada tahun ini dibawah Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKBS) dengan Presiden MBS yang akan menyelaras program itu dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) dan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR).

Ini termasuk beberapa penganjuran program baharu seperti Dewan Belia Sabah.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga akan sentiasa mendengar dan memberi tumpuan
kepada suara anak muda di negeri ini kerana pandangan dan pendapat mereka
diperlukan untuk menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Justeru katanya, dalam Belanjawan 2023 Sabah, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM97.5 juta bagi pembangunan belia dan sukan di Sabah.

“Pembangunan modal insan tidak hanya kepada potensi belia semata-mata. Saya
amat mengambil berat akan pelan pembangunan belia berisiko terutamanya dalam isu penagihan dadah.

“Saya mengambil maklum mengenai pemerkasaan program kesedaran awam
mengenai salah guna dadah di kalangan belia.

“Saya percaya MBS dan badan-badan
gabungannya mampu menjadi faktor pelindung kepada belia-belia berisiko,” katanya.

Serentak itu Hajiji meletakkan harapan tinggi kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan
(AADK) dan MBS untuk bergerak bersama dalam memastikan program pendidikan
pencegahan dadah ini dapat dilaksanakan di kawasan berisiko tinggi.