BANGKOK: Anak jati Sabah, Gerald Wong yang merupakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Tokou berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila menerima pengiktirafan berprestij The 7th ASEAN Rural Development and Poverty Eradication Leadership Award dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Gerald merupakan antara 20 penerima anugerah daripada 10 negara anggota ASEAN, sekali gus meletakkan Sabah dan Malaysia sebaris dengan pemimpin-pemimpin pembangunan luar bandar di peringkat serantau.
Anugerah ini dianugerahkan setiap dua tahun kepada individu yang menunjukkan kepimpinan cemerlang dalam usaha pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan.
Pengiktirafan tersebut diberikan atas usaha konsisten Gerald sejak tahun 2018 dalam memperkasakan komuniti luar bandar melalui pendekatan berasaskan sektor pertanian.
Melalui Farm Tokou, beliau memperkenalkan pertanian moden seperti hidroponik, akuaponik dan sistem pertanian berteknologi, disokong dengan latihan kemahiran serta pembangunan ekonomi komuniti yang secara langsung membantu menjana pendapatan sampingan secara mampan.
Menurut Gerald, kejayaan ini bukan milik individu semata-mata, sebaliknya milik komuniti luar bandar yang menjadi teras kepada segala inisiatif yang dilaksanakan.
“Anugerah ini bukan tentang saya sahaja. Ia adalah pengiktirafan kepada komuniti luar bandar yang berani berubah, kepada belia yang memilih pertanian sebagai jalan masa depan, dan kepada semua rakan kerjasama yang percaya bahawa pembangunan desa mesti dilaksanakan secara inklusif dan bermaruah,” katanya.
Sejak penubuhan Farm Tokou, Gerald mempelopori pertanian bukan sekadar sebagai aktiviti pengeluaran makanan, tetapi sebagai platform pembangunan sosial.
Pelbagai projek kebun komuniti telah dilaksanakan di beberapa daerah luar bandar di Sabah, melibatkan ratusan peserta dan membantu mengubah persepsi terhadap sektor pertanian yang sebelum ini dianggap kurang menarik oleh golongan muda.
“Kami percaya pertanian bukan sekadar soal makanan, tetapi soal maruah, peluang dan masa depan komuniti luar bandar,” tambah beliau.
Majlis penganugerahan tersebut turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin kanan ASEAN, termasuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, yang mencerminkan kepentingan agenda pembangunan luar bandar dalam kerangka kerjasama serantau ASEAN.
Penganjuran anugerah ini selaras dengan komitmen ASEAN terhadap keterjaminan makanan, pembasmian kemiskinan dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Pengiktirafan ini sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia, khususnya Sabah, sebagai antara pemacu utama pembangunan luar bandar yang inklusif dan berimpak tinggi di peringkat serantau.






