KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan komitmen menyelesaikan masalah infrastruktur asas yang telah lama dihadapi rakyat dengan peruntukan RM4.80 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (13MP) untuk Kementerian Kerja Raya dan Utiliti serta jabatan berkaitan, kata Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata peruntukan itu membiayai 318 projek pembangunan, termasuk 106 projek sedia ada dan 212 projek baharu.
“Bagi Jabatan Kerja Raya, RM600.69 juta disediakan pada 2026 untuk operasi dan pelaksanaan projek jalan raya, jambatan, cerun, bangunan kerajaan serta program pengurusan trafik dan keselamatan jalan raya, termasuk kerja baik pulih cerun terjejas seperti di Jalan Tambunan dan Jalan Keningau–Kimanis,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri.
Bagi Jabatan Air Sabah, peruntukan RM848 juta disediakan untuk operasi dan pembangunan termasuk pembinaan dan naik taraf Loji Rawatan Air di Papar, Lahad Datu, Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan serta penggantian pam bagi meningkatkan kecekapan operasi sistem sedia ada.
JPPS pula menerima RM203.91 juta bagi operasi dan pembangunan 2026, termasuk kerja baik pulih paip kumbahan kritikal di Kota Kinabalu dan Tawau, pembinaan Loji Rawatan Lumpur Ranau serta kajian semula Pelan Induk Sistem Pembetungan Sabah.
Projek baharu lain termasuk loji rawatan lumpur di Papar, Penampang, Kudat dan naik taraf Kolam Pengoksidaan di Inanam, selain projek berimpak tinggi Loji Rawatan Pembetungan Selatan Kota Kinabalu dan Loji Rawatan Pembetungan Bandar Tuaran.
Masidi menegaskan langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan memastikan bekalan air bersih berkualiti dan infrastruktur asas yang menyeluruh dinikmati semua rakyat Sabah.






