Sabah Catat RM11.37 Bilion Pelaburan, Fokus Kembangkan Sektor Perindustrian dan IKS

Sabah Catat RM11.37 Bilion Pelaburan, Fokus Kembangkan Sektor Perindustrian dan IKS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah telah menarik pelaburan berjumlah RM11.368 bilion setakat suku kedua 2025, menjadikan negeri ini penerima pelaburan kelima tertinggi di Malaysia, kata Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Jumlah pelaburan ini, merangkumi pelaburan asing dan domestik dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor utama, meningkat 76 peratus berbanding RM6.458 bilion pada 2024.

“Sebahagian besar pelaburan datang daripada sektor pembuatan sebanyak RM7.472 bilion, diikuti sektor perkhidmatan RM3.139 bilion dan sektor utama RM757 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri, Jumaat lalu.

Masidi berkata pelaburan ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap persekitaran ekonomi yang stabil, dasar mesra pelabur serta komitmen kerajaan memperkukuh ekosistem perindustrian.

Projek utama termasuk pelaburan RM6.592 bilion oleh Esteel Enterprise Sabah untuk loji pembuatan keluli hijau di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang dijangka menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkuat rantaian bekalan industri tempatan.

Beliau menambah RM249.19 juta diperuntukkan pada 2026 untuk pembangunan industri, dengan RM194.04 juta disalurkan kepada Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (KPKP) bagi merangsang pertumbuhan industri, promosi dan perdagangan.

Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga terus diberi keutamaan dengan peruntukan RM5 juta bagi program keusahawanan serta RM15 juta untuk Program Bantuan SME-UP meningkatkan kapasiti dan produktiviti IKS.

Infrastruktur taman perindustrian, projek kereta api, pelabuhan dan terminal feri turut menerima perhatian dengan peruntukan berjumlah puluhan juta ringgit untuk memastikan persekitaran pelaburan kondusif, keselamatan logistik dan daya saing maritim negeri.

Masidi menegaskan usaha berterusan ini menunjukkan komitmen Sabah memperkukuh sektor perindustrian, meningkatkan peluang keusahawanan dan memperluas akses pasaran bagi produk tempatan.