KUALA LUMPUR: Seorang juruterbang dan empat penumpang termasuk seorang doktor disahkan maut selepas helikopter BO-105 yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, pada petang Selasa.
Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang mengesahkan kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter berkenaan meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang.
“Malangnya, kesemua lima individu di dalam helikopter itu disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya seperti dilaporkan Borneo Post, semalam.
Helikopter berkenaan dilaporkan terhempas berhampiran hujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan pihaknya menerima notifikasi daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.
Lima mangsa dikenal pasti sebagai juruterbang, Kapten Zainol; Dr Ainul Baraah Kamaruddin; Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit; serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.






