Dari Lagu Solo Jadi Duet, ‘Lepaskan’ Satukan Yonnyboii dan Kaka Azraff

Dari Lagu Solo Jadi Duet, ‘Lepaskan’ Satukan Yonnyboii dan Kaka Azraff

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi Yonnyboii dan Kaka Azraff bergabung buat pertama kali menerusi single terbaharu, “Lepaskan”, sebuah karya pop emosional yang membawa mesej tentang keberanian meninggalkan luka, beban dan kisah silam untuk meneruskan kehidupan.

Lagu berkenaan pada asalnya ditulis untuk dimuatkan dalam album MPT milik Kaka yang dilancarkan pada Februari lalu, namun tidak sempat disiapkan selain dianggap agak mencabar untuk dibawakan secara solo.

Menurut Kaka, idea “Lepaskan” tercetus secara spontan ketika dia bersama Yonnyboii di studio dan proses menghasilkan melodi serta lirik berlaku secara semula jadi.

“Perkataan ‘lepaskan’ menggambarkan usaha melepaskan sakit, beban, dendam dan perkara yang terlalu lama tersimpan dalam hati,” katanya.

Melihat potensi lagu berkenaan, Yonnyboii kemudian mengambil keputusan menghidupkannya semula dalam bentuk duet.

Saya rasa lagu ini ada banyak potensi dan saya tak mahu ia sekadar menjadi satu lagi lagu dalam album. Saya rasa lagu ini layak dikeluarkan sebagai single,” katanya.

Diterbitkan oleh Lonlioni, “Lepaskan” mengetengahkan elemen pop segar dengan sentuhan inspirasi K-pop, namun masih mengekalkan identiti Melayu serta korus yang mudah diingati.

Bagi Kaka, lagu itu turut memperlihatkan sisi dirinya yang lebih rapuh berbanding imej bertenaga yang sering ditampilkan di pentas.

“Ini bukan lagu tentang Kaka nak nampak kuat. Sebaliknya, ia tentang mengakui yang kita pernah penat, pernah terluka, pernah rasa kalah. Tapi dalam keadaan itu pun kita masih cuba untuk berdiri,” katanya.

Yonnyboii pula menyifatkan “Lepaskan” sebagai refleksi terhadap perjalanan hidupnya dalam meninggalkan kesilapan lalu dan memilih untuk bergerak ke hadapan.

Kedua-duanya berharap karya berkenaan mampu menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui fasa sukar dan memberi ruang kepada diri untuk sembuh.

Dalam perkembangan lain, Yonnyboii mendedahkan “Lepaskan” juga menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju album terbaharunya, dengan dua lagi single sudah disiapkan dan bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

“Lepaskan” kini boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman digital.