Tahap Pendayaupayaan Pengguna Malaysia Meningkat Kepada 70.36 Peratus – Armizan

Tahap Pendayaupayaan Pengguna Malaysia Meningkat Kepada 70.36 Peratus – Armizan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tahap pendayaupayaan pengguna Malaysia menunjukkan peningkatan ketara apabila Indeks Pendayaupayaan Pengguna (CEI) 2025 mencatat skor keseluruhan 70.36 peratus, berbanding 63.1 peratus pada 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peningkatan sebanyak 7.26 mata peratusan itu menyaksikan tahap pendayaupayaan pengguna negara beralih daripada kategori sederhana kepada tinggi dalam tempoh lima tahun.

Katanya, hasil kajian turut menunjukkan peningkatan dalam tiga domain utama yang merangkumi keputusan pembelian, literasi kewangan dan tindakan penyelesaian.

“Domain Keputusan Pembelian meningkat 7.11 mata peratusan kepada 75.91 peratus, Domain Literasi Kewangan meningkat 3.97 mata peratusan kepada 66.47 peratus, manakala Domain Tindakan Penyelesaian meningkat sebanyak 10.74 mata peratusan kepada 66.84 peratus.

“Ini jelas menunjukkan pengguna kita semakin berpengetahuan, yakin dan berupaya membuat keputusan serta mengambil tindakan untuk melindungi hak mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Armizan berkata, kajian yang mula dilaksanakan pada 2020 itu bertujuan menilai tahap pendayaupayaan pengguna dari aspek literasi kewangan, keputusan pembelian serta pemahaman dan pelaksanaan hak pengguna untuk mendapatkan penyelesaian dan ganti rugi.

Menurutnya, penandaarasan turut dijalankan dengan negara serta rantau terpilih termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan Korea Selatan bagi memastikan metodologi, instrumen serta pengukuran indeks memenuhi piawaian dan kualiti sewajarnya.

“Peningkatan skor ini bukan sekadar angka statistik, tetapi cerminan sebenar kepada perubahan sikap dan tindakan rakyat Malaysia sebagai pengguna,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkasa Gerakan Pengguna Siswa (GPS) sebagai platform meningkatkan pendidikan dan advokasi kepenggunaan dalam kalangan mahasiswa.

Katanya, sebanyak 196 kelab GPS telah berdaftar di seluruh negara, manakala Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa (MPGPS) Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dari 19 hingga 21 Oktober menghimpunkan 200 peserta daripada 100 institusi pengajian tinggi.

Program itu merangkumi pelbagai aktiviti kepenggunaan termasuk Pertandingan Cabaran Eksplorasi GPS 2026, lawatan lapangan bersama penguat kuasa KPDN, sesi perkongsian ilmu, pembentangan GPS Idea Lab serta penyerahan Geran Ihsan Food Bank (i-FB).