Joe Biden Bakal Umum Senarai Nama Kabinet Esok Hari

Joe Biden Bakal Umum Senarai Nama Kabinet Esok Hari

0
SHARE
Joe Biden...

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Joe Biden akan mengumumkan senarai nama barisan Kabinet pertamanya pada esok (Selasa) hari.

Keputusan ‘sulung’ oleh ahli Demokrat berkenaan sejak meraih mandat rakyat diteruskan meskipun Donald Trump masih mempersoalkan keputusan pemilihan Presiden AS, yang dilaksanakan sejak 3 November lalu.

Ketua Staf Rumah Putih, Ron Klain, berkata pengumuman penting berkenaan dijangka dibuat secepat mungkin walaupun proses perundangan yang mempertikaikan keputusan pemilihan masih berlangsung di beberapa mahkamah negeri.

“Anda akan dapat melihat barisan pertama pemilihan anggota Kabinet presiden yang dilantik pada Selasa minggu ini,” katanya ketika dalam wawancara bersama ABC ‘This Week’, semalam.

Memetik laporan AFP, ditanya bayangan barisan jentera pentadbiran, Klain enggan memberikan perincian lanjut berhubung jawatan mana yang akan diumumkan, namun Biden pada minggu lalu dilaporkan berkata tugas Setiausaha Perbendaharaan sudah mempunyai ‘calon utama’.

Perkembangan politik di AS menyaksikan ahli Republikan ketika ini mula menerima hakikat mengenai kemenangan Biden, malah menggesa Pentadbiran Perkhidmatan Awam (GSA) untuk meluluskan dana persekutuan bagi memberi laluan kepada peralihan tampuk pemerintahan.

Bagaimanapun, pendirian Trump yang masih mempertikaikan keputusan pemilihan Presiden AS menyaksikan Biden dan pasukannya sehingga kini tidak diberikan kelulusan untuk mendapatkan perincian berhubung isu sensitif seperti dasar asing dan domestik.

Donald Trump…

Maklumat sedemikian penting dan harus diteliti dengan segera bagi pentadbiran baharu, selari usaha menangani penularan pandemik di republik itu yang masih meruncing.

Bekas Gabenor New Jersey, Chris Christie, yang pernah menjadi penasihat peralihan pentadbiran Trump pada 2016 menyatakan kekecewaan terhadap pasukan perundangan presiden.

“Sepatutnya GSA pada waktu ini sudah meluluskan dana peralihan pentadbiran,” katanya.

Gabenor Maryland, Larry Hogan, yang juga antara ahli Republikan terkemuka menyelar sikap Trump dan menggesa sekutu partinya untuk menerima hakikat kekalahan.

“Trump sepatutnya berhenti main golf dan akur pada kekalahan,” katanya menerusi kenyataan di Twitter.

Trump dilaporkan aktif bermain golf, pada setiap minggu sejak pemilihan Presiden AS berlangsung pada awal bulan ini, malah ahli Republikan itu mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) yang dianjurkan secara maya.