KKM Lancar Laman Sesawang Baharu Kongsi Data Harian COVID-19

KKM Lancar Laman Sesawang Baharu Kongsi Data Harian COVID-19

0
SHARE

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan laman sesawang baharu iaitu https://COVIDNOW.moh.gov.my yang boleh dilayari mulai 6 petang ini untuk perkongsian data harian COVID-19 lebih telus.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata susulan pelancaran laman sesawang itu, data harian terkini perkembangan COVID-19 di seluruh negara akan tersedia di COVIDNOW selepas 12 malam.

“Laman sesawang ini akan memaparkan data utama yang lebih mudah difahami dan boleh diakses oleh masyarakat umum,” katanya dalam sidang media di KKM, malam tadi.

Beliau berharap melalui data dan maklumat yang dikongsikan di COVIDNOW dan GitHub, masyarakat akan mempunyai pemahaman serta kesedaran lebih baik berhubung situasi jangkitan di dalam negara.

Katanya susulan itu, data yang dikeluarkan menerusi kenyataan akhbar harian Ketua Pengarah Kesihatan pada lewat petang yang menjadi amalan sejak pandemik bermula hanya akan diteruskan seminggu lagi.

Khairy Jamaluddin…

Khairy berkata sebelum ini, KKM telah memuat naik data granular termasuk data vaksinasi ke dalam GitHub dengan data yang dimasukkan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Beliau berkata selain perkongsian data, usaha melakukan perubahan tingkah laku dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipertingkat untuk memasuki fasa baharu hidup bersama virus COVID-19.

Mengulas situasi terkini jangkitan COVID-19 di dalam negara, Khairy berkata secara amnya, sedikit penurunan jumlah kes dapat dilihat manakala purata nilai Rt kini di bawah 1.0 iaitu 0.97.

Beliau berkata beberapa negeri telah menunjukkan situasi kadar jangkitan lebih baik seperti di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan dan Melaka namun ada juga yang masih melaporkan trend mendatar serta kurang stabil seperti Perak, Perlis, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Sabah.

Khairy berkata beberapa negeri didapati menunjukkan peningkatan kes seperti Sarawak dan Terengganu manakala tindakan sewajarnya telah diambil bagi negeri yang memerlukan lebih perhatian agar bantuan dapat diberikan.

– BERNAMA