KUALA LUMPUR – Kumpulan teknikal Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji keperluan suntikan dos penggalak keempat susulan ancaman varian Omicron.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersetuju dengan kajian yang mendapati bahawa pemberian dos penggalak Pfizer kepada penerima suntikan primer jenis Sinovac tidak mencukupi bagi membendung jangkitan Omicron.
Menurut laporan Berita Harian, kajian sekumpulan penyelidik dari Universiti Yale, Kementerian Kesihatan Republik Dominican serta beberapa institusi lain mendedahkan bahawa suntikan dua dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer-BioNTech menunjukkan tindak balas imun yang rendah melawan Omicron berbanding varian lain.
“Menurut kajian itu, suntikan dua dos Sinovac disusuli suntikan dos penggalak Pfizer-BioNTech hanya menghasilkan antibodi serupa dengan dua dos vaksin jenis Messenger Asid Ribonukleik atau mRNA, sekali gus menyaksikan tahap antibodi terhadap Omicron adalah 6.3 kali lebih rendah berbanding varian asal dan 2.7 kali lebih rendah jika dibandingkan dengan Delta,” katanya.

Khairy berkata sama ada mereka yang terima suntikan primer dua dos Sinovac dan dos penggalak Pfizer mesti dilengkapi satu lagi dos.





