15 Saintis UMS Tersenarai Antara 2 Peratus Terbaik Dunia

15 Saintis UMS Tersenarai Antara 2 Peratus Terbaik Dunia

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatat sejarah membanggakan apabila 15 saintisnya berjaya menempatkan diri dalam kelompok 2 Peratus Saintis Terbaik Dunia 2025, pengiktirafan berprestij antarabangsa yang diterbitkan oleh Stanford University dengan kerjasama Elsevier.

Seramai 14 saintis diiktiraf dalam kategori Single Year Citation Impact bagi tahun 2024, manakala enam lagi tersenarai dalam kategori Career-Long Citation Impact. Beberapa saintis cemerlang turut muncul dalam kedua-dua kategori.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata pencapaian itu membuktikan saintis UMS mampu berdiri sebaris dengan penyelidik terbaik dunia, sekali gus menampilkan ilmu dan inovasi dari Borneo sebagai penyumbang kepada penyelesaian cabaran global.

“Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa tetapi juga pemangkin pengukuhan kerjasama di peringkat tempatan, serantau dan global.

“UMS akan terus membina jaringan dengan komuniti, agensi kerajaan, industri serta universiti antarabangsa dalam bidang penyelidikan, mobiliti akademik dan inovasi,” katanya.

Antara saintis tersenarai dalam Single Year Citation Impact ialah Prof. Dr. Hanudin Amin, Dr. Teo Siow Hwa, Prof. Dr. Jason Teo Tze Wi, Prof. Ts. Dr. Zainul Amiruddin Zakaria, Prof. Madya Dr. Christophe Patrice Andie Wiart, Prof. Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee, Dr. Noora Barzkar, dan Prof. Madya Ts. Dr. Rovina Kobun.

Turut diiktiraf ialah Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, Prof. Dr. Md Lutfor Rahman, Prof. Madya Dr. Shigeharu Sato, Prof. Ts. Dr. Uda Hashim, Prof. Dr. Rayner Alfred, serta Dr. Nurul Elyani Mohamad. Dalam kategori Career-Long Citation Impact pula termasuk Prof. Zainul, Prof. Wiart, Prof. Jason Teo, Prof. Shafiquzzaman, Prof. Rosalam dan Prof. Lutfor Rahman.

“Pengiktirafan ini memperkukuh reputasi UMS sebagai pusat ilmu yang digelar ‘Brain of Borneo’, selaras dengan misi mengangkat penyelidikan dan inovasi dari rantau ini ke persada dunia,” tambah Dr. Kasim.