KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail digesa menghentikan campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan penyelewengan dana RM600 bilion ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Shah Alam, Dr Afif Bahardin, berkata kenyataan Saifuddin untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berhubung dakwaan memperlihatkan tindakan mahu campur tangan.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya campur tangan politik yang jelas oleh menteri, dalam mengarahkan polis tentang cara menjalankan tugasnya…
“Ini dendam politik dalam bentuk yang paling jelek dan tidak sepatutnya berlaku di mana-mana negara,” katanya.
Beliau berkata pemimpin Pakatan Harapan (PH), yang mendakwa memperjuangkan reformasi demokrasi, tadbir urus baik dan kebebasan institusi, kini secara terbuka mengakui membincangkan penyiasatan membabitkan lawan politik mereka dengan polis.
“Ini sesatu yang mengejutkan dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, Saifuddin tidak perlu membincangkan secara spesifik sebarang siasatan dengan Ketua Polis Negara sungguhpun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyidin Yassin mengalu-alukan sebarang penyiasatan ke atas pakej bantuan berjumlah RM530 bilion ketika pandemik COVID-19.
“Itu adalah bidang kuasa polis, dan tidak boleh ada campur tangan politik atau menteri. Sungguh mengerikan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipanggil Perdana Menteri reformis, pada minggu pertamanya memegang jawatan membuat tuduhan sedemikian tanpa sebarang bukti untuk menyokongnya.
“Lebih memalukan apabila Menteri Dalam Negerinya, pada hari kedua memegang jawatan, (seolah-olah) merancang untuk terbabit dalam menjalankan siasatan,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab Menteri Dalam Negeri adalah untuk memberi arahan dasar yang sesuai kepada badan penyiasat dan menjamin keselamatan negara, bukannya mencampur tangan dalam mana-mana siasatan.
“Walaupun ini mungkin biasa di negara-negara seperti Korea Utara, ia adalah menjijikkan di Malaysia yang sepatutnya menjadi negara demokrasi,” tambah Afif.
Saifuddin pada sidang media pada Selasa berkata beliau akan mendapatkan pandangan daripada Ketua Polis Negara itu mengenai isu dibangkitkan Anwar.





