Janji Jawatan PH Bagi Calon Padang Serai ‘Tidak Ubah Seperti Mengumpan’

Janji Jawatan PH Bagi Calon Padang Serai ‘Tidak Ubah Seperti Mengumpan’

0
SHARE
Barisan kepimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional ketika hadir membantu kempen Parlimen Padang Serai...(Sumber Foto: Bernama)

SHAH ALAM – Pertimbangan Pakatan Haparan (PH) untuk memberikan peranan sesuai kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, C Sivarraajh boleh ditakrifkan sebagai dorongan atau rasuah.

Memetik sumber Sinar Harian, peguam, Norman Fernandez menegaskan bahawa tindakan seperti dinyatakan Kenyataan Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini tidak berubah seperti mengumpan.

Beliau berkata penerusan budaya itu juga dilihat tidak sihat dan akan menjadi amalan biasa jika dibiarkan.

“Jika PH ingin membawa wadah politik baharu, politik sedemikian tidak patut di bangkitkan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar menyiasat perkara ini, seandainya wujud unsur-unsur pelanggaran dalam pilihan raya,” katanya.

Saifuddin dilaporkan sebagai berkata bahawa Sivarraajh telah bersetuju memberi laluan dan menyokong tanpa syarat calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak untuk memenangi PRU15 di kawasan itu pada 7 Disember.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas perbincangan PH dengan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Saifuddin berkata antara asas yang dikemukakan PH untuk BN menarik diri adalah ekoran keputusan PH sebelum ini yang bersetuju memberi laluan kepada BN pada PRU15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang.

Muhammad Fazril Mohd Salleh dan Norman Fernandez…

Manakala Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Fazril Mohd Salleh pula berkata prinsip yang mesti dipertahankan oleh pemimpin era baharu adalah bersama-sama berganding bahu untuk membangunkan semula negara.

“Jika ingin menjalin kerjasama politik, jangan sampai gadaikan kepentingan rakyat. Budaya kerjasama politik lama, diharapkan tidak diteruskan.

“Menurut apa yang saya faham, Sivarraajh menarik diri tanpa syarat. Ia juga dilihat sebagai tindak balas daripada keputusan calon PH di DUN Tioman yang menarik diri dan memberi laluan kepada calon BN di sana.

“Saya fikir, itu sudah memadai. Mengapa perlu menjanjikan tempat dalam kerajaan, kalaupun Sivaraajh seorang tokoh muda? Dan persoalannya mengapa Saifuddin keluarkan kenyataan demikian? 

“Adakah ia suatu habuan atas sokongan, sedangkan Perdana Menteri sudah pun berpesan bahawa secara prinsipnya perkara ini tidak harus berlaku dalam kerajaan baharu pimpinan beliau,” tegasnya.

Muhammad Fazril berkata pemimpin harus ingiat bahawa rakyat walaupun gembira berlakunya perubahan pucuk pimpinan masih marah dengan pemilihan menteri yang menganggotai kabinet.

“Justeru, berjaga-jaga kerana anda adalah pekerja bagi rakyat. Rakyat adalah majikan anda. Jangan sombong dan bekerja dengan amanah. Usah hilang ingatan setelah dapat kuasa…

“Saya juga mengharapkan agar janji-janji reformasi institusi, pengukuhan tadbir urus yang baik dan peningkatan transparensi, integriti dan kecekapan pentadbiran kerajaan menjadi keutamaan dalam pentadbiran Perdana Menteri kali ini. Harapan rakyat menggunung, ” katanya.