Tongod Bakal Jadi Pengeluar Utama Produk Daging Khinzir Di Rantau Asia Pasifik

Tongod Bakal Jadi Pengeluar Utama Produk Daging Khinzir Di Rantau Asia Pasifik

0
SHARE

TONGOD, SABAH – Daerah Tongod bakal menjadi pengeluar utama produk daging khinzir yang terpenting di rantau Asia Pasifik sebaik sahaja projek ternakan khinzir seluas 500 ekar dibina di Kampung Entilibon di sini bermula pertengahan tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, sebuah syarikat tempatan telah bersetuju menjalinkan perjanjian usahasama dengan kerajaan negeri berhubung pelaburan projek bernilai lebih RM200 juta itu.

“Operasi projek veteriner itu menggunakan sepenuhnya teknologi moden daripada negara Denmark,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena perasmian sesi majlis dialog bersama penduduk terlibat bertempat di Dewan Terbuka Entilibon, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sabah, Dr Jamaun Angkop, Penolong Pegawai Daerah Tongod, Floren Sian Padasan dan Pengarah Urusan Tongod Farm Sdn Bhd, Datuk Vencent Tan.

Dalam pada itu, Masiung turut berkata industri penternakan itu akan dibina dengan kilang pemprosesan dan pembungkusan daging khinzir bermutu tinggi untuk pasaran dalam dan luar negara bagi rasa kedua.

Menurutnya, pemilik tanah yang terlibat dalam projek terbabit juga telah selesai diberi pampasan selepas bersetuju menandatangani perjanjian dengan syarikat pemaju selama 50 tahun.

Katanya, agi fasa pertama projek ternakan khinzir ini akan mengambil masa dua tahun merangkumi kawasan 200 ekar, manakala selebihnya 300 ekar akan dilaksanakan dalam fasa seterusnya.

Beliau berpuas hati syarikat pemaju projek juga turut bersetuju mengambil pekerja tempatan di kalangan penduduk daerah Tongod disamping memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera menjalankan kerja-kerja bersekala kecil dan sederhana.

Kewujudan industri veteriner itu mampu mewujudkan lebih 1000 peluang pekerjaan dan ia juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Beliau turut mengingatkan syarikat pemaju supaya memberi keutamaan kepada warga Kuamut untuk bekerja di syarikat terbabit.