SANDAKAN, SABAH – Sektor swasta mampu memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan usaha vaksinasi di Sandakan.
Pengarah Eksekutif Andamy Group Liew Ja Hou yang dipetik Bernama berkata, ini termasuk menyumbang peralatan yang diperlukan oleh pusat pemberian vaksin (PPV) untuk beroperasi dengan lancar terutama ketika kadar inokulasi semakin meningkat.
“Kami menyokong usaha vaksinasi di Sandakan dan apa sahaja yang diperlukan oleh PPV akan kami usahakan memandangkan semakin ramai orang yang tampil untuk mendapatkan vaksin,” katanya kepada pemberita di PPV Dewan Persatuan Hakka Sandakan kelmarin.
Beliau berkata petugas kesihatan di dewan itu telah memaklumkan bahawa mereka memerlukan kerusi roda bagi warga emas dan syarikat tersebut berasa terpanggil untuk menyumbangkan lima kerusi roda, empat unit kabinet berlaci serta alat tulis.