KOTA KINABALU, SABAH – Polis menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian pecah masuk bilik pameran kereta, di Jalan Lintas, Kepaya, sini, minggu lalu.
Kedua-dua suspek, berusia 36 dan 39 tahun ditahan sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Rabu (15 Mac).
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan mereka berdua bertindak memecahkan pintu kaca bilik kira-kira 4:20 pagi pada 8 Mac.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata dua kenderaan Nissan Navara dipandu keluar premis setelah dua pencuri terbabit menemui kunci dalam premis terbabit.
Polis juga sedang giat memburu seorang lelaki berusia 37 tahun yang bertindak sebagai pemandu dalam jenayah itu.
“Salah satu kenderaan pacuan empat roda itu dijual kepada seorang broker rumah berusia 28 tahun di Kolombong dengan harga RM10,000.
“Pembeli itu kini dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut kerana dipercayai bersubahat. Beliau juga telah menggantikan rim dengan sebuah lagi Nissan Navara miliknya sendiri yang juga telah dirampas,” katanya.
Sebuah lagi Navara yang mengalami kerosakan pada bahagian hadapan ketika dikeluarkan dari bilik pameran ditinggalkan di belakang pasaraya CKS Menggatal.

Zaidi berkata lapan lagi kes termasuk beberapa di Keningau dan Semenanjung juga diselesaikan dengan tangkapan tersebut.
“Polis di Selangor telah mendapati bahawa mereka terlibat dalam tiga kes pecah rumah selama seminggu tinggal di sana.
“Modus operasi suspek adalah melarikan diri ke Semenanjung untuk mengaburi mata polis namun meneruskan kegiatan pecah masuk di negeri-negeri yang berbeza,” katanya.
Kedua-dua suspek telah mengaku terlibat dalam jenayah itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.






