Wakil Rakyat Sabah Desak MA63 Diterjemah Dalam Tindakan Nyata

Wakil Rakyat Sabah Desak MA63 Diterjemah Dalam Tindakan Nyata

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sabah mahu komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diterjemah melalui pelaksanaan yang konsisten, telus dan seimbang antara wilayah.

Datuk Siti Aminah Aching (BN–Beaufort) menegaskan pemberian khas RM600 juta dan peruntukan RM6.9 bilion dalam Belanjawan 2026 perlu disertai mekanisme pelaksanaan yang menepati semangat MA63, termasuk pemulangan 40 peratus hasil Sabah.

“Saya menyeru agar semangat MA63 diterjemahkan dalam pelaksanaan dasar kerajaan. Sabah dan Sarawak bukan wilayah bawahan, sebaliknya rakan pembentukan Malaysia,” katanya.

Datuk Lo Su Fui (GRS–Tawau) pula menggesa kerajaan memperkenalkan sistem fast track approval bagi projek mendesak seperti air, jalan raya dan elektrik.

“Antara langkah yang boleh diambil ialah menetapkan tempoh maksimum kelulusan teknikal tidak melebihi tiga bulan serta sistem maklum balas wajib dalam tempoh 14 hari bagi setiap aduan,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Shahelmey Yahya (BN–Putatan) berkata pelaksanaan dasar pembangunan di Sabah perlu dipantau rapi agar manfaatnya dirasai rakyat luar bandar.

“Reformasi sektor kesihatan awam mesti memberi tumpuan kepada keberkesanan perkhidmatan dan kemajuan infrastruktur, termasuk penubuhan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II,” katanya.

Manakala Ahli Parlimen Sarawak, Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS–Betong) menegaskan jurang pembangunan tidak hanya melibatkan infrastruktur, tetapi juga akses pendidikan, peluang ekonomi dan perkhidmatan sosial.

“Persekutuan Malaysia tidak dibina atas dasar penguasaan satu pihak terhadap yang lain, tetapi atas perkongsian setara antara Malaya, Sabah dan Sarawak,” katanya.