KOTA KINABALU: Bah Kano Hari Terbuka Armada Timur (HTAT) 2025 yang berlangsung selama dua hari di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu membuka tirainya hari ini dengan penuh kemeriahan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi Idris.
Penganjuran HTAT 2025 adalah sebahagian daripada sambutan Hari Ulang Tahun TLDM, bertujuan mendekatkan TLDM dengan masyarakat setempat serta memberi peluang kepada orang awam untuk mengenali peranan dan aset TLDM dengan lebih dekat.
Antara tarikan utama ialah lawatan ke tujuh buah kapal TLDM iaitu KD Kelantan, KD Selangor, KD Kedah, KD Sundang, KD Rencong, KA Bunga Mas Lima dan KD Serang, serta sebuah kapal selam, KD Tunku Abdul Rahman.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi udara dan maritim yang melibatkan Pasukan Khas Laut (PASKAL), empat buah bot tempur serta sebuah helikopter AW139.
Persembahan kawad senyap oleh pasukan dari Lumut dan pancaragam Armada Timur turut memukau hadirin.
Sebanyak 122 vendor makanan mengambil bahagian dalam acara ini, menyajikan pelbagai jenis makanan dan minuman tempatan.
Selain itu, pengunjung boleh mendapatkan maklumat daripada pelbagai agensi yang turut serta dalam pameran, termasuk Tentera Darat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Selam Armada Timur, Depot Peluru dan Bahan Letupan Timur, Markas Pemerintahan Kapal Selam dan Stesen Udara Kota Kinabalu.
Lebih menarik, Bah Kano HTAT25 turut menganjurkan Auto Show yang menampilkan 22 buah kereta berkuasa tinggi daripada kelab kereta terkenal di Sabah.
Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti Pertandingan Memasak Masterchef, Pertandingan Memancing dan Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak, yang berjaya menarik penyertaan ramai.
Penganjuran HTAT 2025 bukan sahaja mempamerkan keupayaan TLDM, malah menjadi medium mempererat hubungan antara angkatan laut dan rakyat, sejajar dengan aspirasi TLDM untuk terus kekal relevan serta diyakini masyarakat.