Erti Tersirat ‘Perisai Cinta’ Bagi Liza Hanim

Erti Tersirat ‘Perisai Cinta’ Bagi Liza Hanim

0
SHARE
Liza
Poster single baharu Liza Hanim, Perisai Cinta

KUALA LUMPUR – Selepas mengadakan konsert sulungnya beberapa bulan lalu, bintang bersuara hebat Liza Hanim tampil dengan sebuah lagi karya balada bertajuk “Perisai Cinta”.

Liza yang sememangnya tersohor kerana ketangkasannya membawa lagu-lagu bergenre
sedemikian, berkongsi erti di balik lagu itu yang juga runut bunyi asli sebuah drama bersiri.

“Lagu ini adalah runut bunyi asli drama bersiri berjudul ‘Ternyata Sebuah Bahagia’ lakonan Zamarul Hisham, Sarimah Ibrahim dan Elvina Mohamad.

“Menurut pihak penerbitan kisah dalam lagu ini adalah suara hati watak wanita utama drama tersebut yang bernama Janice, lakonan Sarimah Ibrahim.

“Namun bagi saya lagu ini mempunyai dua maksud. Interpretasi saya mungkin berbeza kerana saya melihatnya sebagai sebuah lagu yang mempunyai pesan ketuhanan.

“Ini kerana lagu ini menjelaskan bahawa dalam setiap kesusahan dan setiap yang kita lakukan, kadangkala kita lalai dan kita rasa seperti kita perlu bergantung pada seseorang manusia.

“Dalam lagu ini manusia yang dimaksudkan itu adalah seorang lelaki harapan watak
wanita utama tersebut. Namun kala dia sedar bahawa lelaki itu juga punya nafsu dan
mampu lalai dan alpa, dia akan sedar satu-satunya tempat bergantung adalah Allah
Taala dan bukan manusia biasa,” ujar Liza.

Untuk projek ini, ia merupakan kali pertama beliau bekerjasama dengan Omar K dan
Shazriq Azeman selaku pencipta dan penulis lagu.

“Saya memang dah lama ingin menyanyikan lagu-lagu Omar K kerana muzik beliau seiring serta sesuai dengan zaman dan bersifat kekinian namun peluang itu tidak pernah ada sebelum ini.

“Jadi saat dapat berkolaborasi buat pertama kali, saya begitu teruja dan gembira. Apatah lagi ini kali pertama bertemu dengannya.
Kalau Shazriq Azeman pula, saya pernah berjumpa dengannya di pentas “All Together Now”, namun ini kali pertama juga kami bekerjasama.

“Lebih memudahkan kerja adalah mereka berdua sangat menghormati dan berbudi
bahasa. Jadi rakaman berjalan dengan sangat lancar dan mudah. Lagipun saya datang dengan penuh semangat seperti setiap rakaman saya sebelum ini.

“Saya sudah hafal lagu dan faham jalan ceritanya. Alhamdulillah semua berjalan lancar
dan saya anggap lagu ini ada keajaiban tersendiri kerana ia begitu cepat untuk
diselesaikan.

“Saya dapat menangkap intipati lagu ini dengan cepat dan sekitar 45 minit sahaja semuanya sudah selesai,” tambah Liza lagi.