KUALA LUMPUR – Campur tangan kerajaan dalam isu pekerja yang tidak dibayar gaji serta tidak diperlakukan dengan adil oleh syarikat sangat digesa oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor dalam kenyataan media hari ini berkata, kerajaan mesti peka dan sensitif terhadap sebarang perubahan dasar atau amalan terutamanya dalam suasana luar biasa dan tidak dijangka ini.
Beliau berkata, kerajaan perlu memberi pelbagai insentif kepada majikan dan pekerja bagi memastikan pekerjaan pekerja dapat dikekalkan.
Katanya, isu pekerja industri perkayuan iaitu Syarikat Sabah Forest Industri (SFI) di Sabah yang tidak dibayar gaji selama tiga bulan dan terpaksa hadir bekerja, adalah antara insiden yang memerlukan campur tangan kerajaan bagi memastikan kebajikan pekerja terus terjaga.
“Mereka adalah pekerja luar bandar yang bekerja tetapi dibiarkan dan tidak dipedulikan pihak berkuasa. Bagaimana kesudahan pekerja ini dan apakah undang-undang tidak terpakai kepada syarikat?
“Pekerja SFI sudah mengibarkan bendera putih untuk mendapatkan perhatian kerajaan dan tindakan ini terpaksa dilakukan bagi memastikan kelangsungan kehidupan keluarga mereka,” katanya.
MTUC dalam kenyataan itu turut membidas langkah pengurusan membiarkan pekerja tanpa gaji selama tiga bulan selain tiada inisiatif diambil bagi menyelesaikannya.
“Kerajaan wajib masuk campur dan menggunakan semua kaedah bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.