Mawar Rashid ‘Terdiam’ Dalam Lagu 

Mawar Rashid ‘Terdiam’ Dalam Lagu 

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Artis Mawar Rashid muncul dengan sebuah karya lagu berjudul Terdiam, merupakan buah tangan sulungnya dalam arena muzik tempatan.

Lagu ini mencerminkan rasa introspeksi yang mendalam dan perjuangan dengan kekurangan peribadi serta kesakitan emosi.

Liriknya menggambarkan kesunyian dan kesedihan, sambil mempertanyakan sama ada ini hanya satu fasa kehidupan.

Dalam karya ini juga, Mawar merenung kembali detik-detik kebahagiaan yang sementara dan berusaha mencari makna walaupun menghadapi cabaran. 

Beliau mengakui kekurangan dirinya dan berusaha untuk sembuh serta tersenyum lagi, walaupun dia merasa letih dan mungkin memerlukan lebih daripada sekadar rehat.

Secara keseluruhannya, lagu ini adalah tentang usaha untuk mencari ketenangan dan kegembiraan di tengah-tengah dilema peribadi.

Dicipta dan ditulis oleh Amir Hasan dan Madebyartin, Mawar mengatakan bahawa dirinya berpuas hati dengan hasil kerja mereka.

“Saya sudah mengenali Amir dari zaman kolej lagi jadi saya tahu dia mampu berikan apa yang saya mahu selepas saya jelaskan segalanya. Saya mahukan sesuatu yang berbeza dan amir bersama-sama Madebyartin berjaya menghasilkan apa yang saya mahu,” ujar Mawar.

Lagu ini turut menampilkan sebuah klip video arahan pelakon popular Janna Nick.

“Saya memilih Janna kerana saya tahu akan hasil kerjanya selain bakat dan pengalaman yang ada pada dirinya. Lagipun saya sudah lama mengenalinya dan saya tahu dia mampu memberikan apa yang saya mahu.

“Saya juga ingin berkongsi, sewaktu penggambaran video muzik lagu ini, saya termuntah di hujung rakaman kerana pening gara-gara terlalu banyak aksi berpusing untuk tarian yang digunakan dalam video.

“Malah ada babak cadangan Janna yang membabitkan pembakaran bunga dan memerlukan saya bertindak dengan cepat. Saya tak akan lupakan babak itu,” ujar Mawar tentang video muzik lagu Terdiam.

Mula dikeluarkan hari ini (6 Sept), ‘Terdiam’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.