Halau USNO Keluar GRS Disifatkan Keterlaluan

Halau USNO Keluar GRS Disifatkan Keterlaluan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Mantan Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kapayan, Jafery Jomion @ Jet Fei Lee menasihatkan pemimpin muda dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar tidak keterlaluan ketika mengulas mengenai rakan dalam gabungan itu.

Menurut Jafery, tindakan Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bingkor, Rafie Robert yang bertindak mengikut perasaan dengan menyarankan supaya Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) disingkirkan daripada GRS adalah tidak wajar.

“Pepatah ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’ seharusnya menjadi amaran kepada Rafie yang sudah keterlaluan dan kurang beretika dengan cara menghalau USNO keluar dari GRS hanya kerana Presiden USNO (Tan Sri PandikaR Amin Mulia) berbicara tentang demokrasi dan hak Wilayah Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sebenar selain berperanan sebagai pemimpin GRS dalam parti tempatan.

“Beliau bukan ikut sedap mulut bercakap dengan cara angkat kaki walaupun dia juga mampu menjadi seorang penjilat kerana ilmunya dalam politik bukan sekadar setahun jagung, tetapi kerana kebenaran fakta, beliau kembali menjadi seperti harimau muda yang penuh berapi membakar semangat dan kesedaran rakyat walaupun sudah di usia senja dan bertongkat ke hulu, ke hilir demi hak kita bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Jafery turut mempersoalkan gesaan supaya Pandikar Amin bersara atas faktor usia sedangkan hampir semua pemimpin tertinggi GRS juga berumur lebih 60 tahun.

Adakah mereka juga patut bersara termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik yang juga bapa kepada Rafie sendiri dan digantikan dengan pemimpin setahun jagung yang baru mula tumbuh gigi tapi sudah pandai menggigit.

“Faktor umur tidak penting tapi keberanian memimpin dengan sepenuh tenaga dan kebijaksanaan mencari kewangan untuk semua jentera parti dan rakyat kerana tanpa pemimpin veteran ini, siapa lagi yang berani bersuara ikut fakta kebenaran dan hidup seperti lilin membakar diri untuk memberi cahaya kepada keluarga dan anak yang masih dalam kegelapan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pemimpin muda tidak sepatutnya terlalu angkuh walaupun kini berada dalam kerajaan.

“Kerajaan hari ini bukan atas kekuatan solo kita, tapi hasil gabungan dari pecah perintah oleh pemimpin yang disatukan dan bantuan dari beberapa ADUN keluar parti yang disokong oleh pemimpin kita sendiri walaupun GRS ataupun Gagasan Rakyat juga belum terbukti kuat atau menang banyak kerusi kerana fakta PRN lepas Gagasan Rakyat dan USNO juga menerima nasib yang sama atau kalah teruk serta hilang deposit.

“Adakah USNO perlu dimalukan kerana tiada kerusi yang dimenangi dan hanya kerana bersuara demi fakta yang selari dengan perjuangan sebenar parti tempatan seperti yang selalu kita sebut mahu jadi macam Sarawak tapi bila pemimpin mula bercakap dan memimpin macam Sarawak, badut sudah mula memalukan keluarga sendiri.

“Inikah cara setia kawan dalam gabungan menegur untuk kebaikan yang berpaksikan demokrasi tetapi ahli keluarga sendiri dihukum dan dihalau keluar rumah oleh anak muda yang baru belajar bercakap, sedangkan anak yang lebih tua hanya berdiam diri.

“Inikah contoh pemimpin muda yang berakal, perlu diangkat dan dihormati untuk menggantikan pemimpin veteran di masa akan datang,” katanya.

Jafery menegaskan bahawa tindakan menyisihkan parti rakan hanya kerana tidak sependapat seharusnya dielakkan demi memperkukuh GRS.

“Biarlah kita perkuatkan GRS mengikut acuan awal yang pernah Ketua Menteri kita sebutkan iaitu ‘rumah kita, kita jaga dan inilah sebenarnya asas perjuangan kita.

“Kalau bukan sekarang, bila lagi dan kerana ayat ini jugalah yang menjadikan Perikatan Nasional (PN) dari Malaya terkubur dan akhirnya menjadi gabungan tempatan seperti GRS dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dari Malaya juga menjadi Gagasan Rakyat seperti yang kita nampak hari ini,” tegasnya.