Usul Undi Percaya Disifatkan Sebagai Gimik – Hamzah Zainudin

Usul Undi Percaya Disifatkan Sebagai Gimik – Hamzah Zainudin

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya sebuag gimik terutama selepas perjanjian dimeterai antara kerajaan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Memetik sumber Berita Harian, Ahli Parlimen Larut itu berkata, usul yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu mewujudkan pelbagai persoalan.

“Apakah usul ini mempersoalkan kuasa dan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong atau kerana kerajaan dibentuk ini adalah kerajaan minoriti walaupun seperti kenyataan Yang Amat Berhormat Tambun bahawa Yang Berhormat Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah pun dalam pusingan pertama memperoleh sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri…

“Kami sedar bahawa usul ini adalah gimik semata-mata apatah lagi dilakukan selepas satu perjanjian kerjasama ditandatangani semua pemimpin untuk menyokong Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika berbahas pada usul percaya Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara terbabit, Hamzah turut menyifatkan ia sebagai satu perjanjian yang menyekat dan memudaratkan demokrasi berparlimen.

Katanya, kesan kumulatif peruntukan daripada perjanjian terbabit menyebabkan semua Ahli Parlimen daripada PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN) untuk mengundi hanya dengan cara yang dikehendaki oleh Anwar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (kiri) yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Mod Shafie Apdal pada Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 16 Dis 2022…

“Ini bercanggah dengan prinsip asas berparlimen yang dijamin Perlembagaan dan undang-undang Malaysia. Ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan dasar awam, tidak sah serta tidak dibenarkan undang-undang…

“Adakah ini demokrasi yang dilaungkan Yang Amat Berhormat Tambun. Yang Amat Berhormat Tambun tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga sanggup melanggar prinsip perjuangan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah meminta Anwar menyaman media Eropah, yang menerbitkan artikel mengenai pelantikannya sebagai Perdana Menteri dengan menggelarnya sebagai ‘homoseksual sepenuhnya’ (full-blown homosexual).

Beliau menegaskan, ia jelas adalah satu penghinaan kepada Anwar, dan Perdana Menteri mesti mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

“Dia (media Eropah) berkata Anwar sebelum ini disabitkan mengenai perkara itu, merujuk kepada sabitan kesalahan liwat sebelum ini, tetapi mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.