TUARAN, SABAH – Parti STAR teguh berdiri seiring Perdana Menteri negara ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan tidak akan dipengaruhi sebarang retorik pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada.
Pengarah Strategik parti, Edward Linggu, dalam sebuah kenyataan hari ini berkata bermacam polemik cuba dimainkan ahli politik yang semakin terdesak.
“Tapi ini bukanlah sebab untuk kita hilang kepercayaan kepada stabiliti kerajaan Perikatan Nasional…
“Harus kita ingat bahawa dakwaan pihak pembangkang yang mereka kononnya memiliki majoriti tidak menjejaskan keabsahan Perdana Menteri kita.
“Taktik mengibarkan akuan bersumpah (SD) juga tidak membawa sebarang erti kerana kesahihan undi kepercayaan hanyalah boleh disuarakan pada sidang parlimen,” katanya.
Edward yang juga bekas ADUN Tamparuli menasihati rakyat Sabah supaya tidak mempedulikan atau dipengaruhi laporan bertentangan dan dakwaan melebih-lebih yang datang dari pihak pembangkang.
“Kita bertanggungjawab mempertahankan kestabilan politik negeri ini dengan semangat Sabah Maju Jaya yang diterajui keperpaduan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor…

“Sekarang GRS memegang mandat rakyat selama lima tahun dan tanggungjawab ini harus dihormati demi rakyat sendiri yang sedang menderita secara sosial dan ekonomik ekoran pandemik COVID-19,” katanya.
Menurutnya rakyat Sabah sedia umum usaha sesetengah pemimpin yang cuba merebut jawatan Perdana Menteri bukan semata-mata untuk menukar keraajan tetapi untuk keuntungan sendiri kerana bersalah laku di sisi undang-undang.
Beliau turut berkata parti STAR, di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Kitingan, menaruh keyakinan penuh ke atas kebolehan sifat kepimpinan Perdana Menteri Malaysia.
