TPM Bentang Usul Undi Percaya Kepada PM

TPM Bentang Usul Undi Percaya Kepada PM

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.

Memetik sumber Berita Harian, usul yang dibentangkan terbabit bertujuan untuk menyokong sepenuhnya pelantikan dan kepimpinan Anwar selaku Perdana Menteri Ke-10.

Menurutnya, kepimpinan Anwar dan Kerajaan Perpaduan harus disokong demi kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Nov mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah…

Kerajaan Perpaduan berikrar untuk terus menstabilkan iklim politik, memakmurkan ekonomi, menyatupadukan rakyat berbilang kaum serta mengangkat martabat negara di persada dunia.

“Perdana Menteri menjunjung kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas cetusan idea penubuhan Kerajaan Perpaduan. Ini berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang telah menatijahkan situasi Parlimen tergantung di mana tiada parti atau gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah…

“Situasi terbabit tidak pernah berlaku sepanjang sejarah negara ini. Idea penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah cerminan pandangan jauh serta keprihatinan Baginda demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Usul berkenaan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi…

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, Perdana Menteri mengambil inisiatif mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan parti politik utama negara termasuk Ahli Parlimen Bebas.

Katanya, ini sekali gus membolehkan pembentukan Jemaah Menteri yang dilantik pada 3 Disember lepas.

Katanya, Kerajaan Perpaduan kini komited menggalas amanah rakyat, selain kerajaan giat melaksanakan segala gerak kerja termasuk menyusun strategi baharu bagi mempersiapkan negara menghadapi cabaran politik, ekonomi, sosial, perubahan persekitaran dan sebagainya.

“Menyedari prospek ekonomi dunia tahun hadapan dijangka mengalami kemelesetan, adalah penting Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat…

“Ini sekali gus akan memperkukuhkan lagi keyakinan pelabur, komuniti perniagaan serta rakyat. Hasil sokongan ini akan menyuntik azam bagi Kerajaan Perpaduan terus komited memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Pentadbiran Kerajaan Perpaduan akan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, keadilan serta kesaksamaan sosial termasuk usaha reformasi bidang tertentu,” katanya.