ESSCOM Tahan 22 PATI Di Lahad Datu

ESSCOM Tahan 22 PATI Di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU, SABAH – Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu dikoordinasikan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada Jumaat dan Sabtu.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Hamzah Haji Ahmad berkata ianya susulan operasi yang dijalankan pada 1-6 Disember sebagai usaha mengekang anasir tidak sihat dan jenayah rentas sempadan.

“Sepanjang tempoh operasi pada 16-18 Disember bermula, pemeriksaan fizikal dijalankan ke atas 548 orang dan 290 rumah serta premis.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 22 PATI ditahan mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pendaftaran Negara 1959 sebelum diusir pulang ke negara asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi Bersepadu itu dijalankan antara jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu Polis Diraja Malaysia Daerah Lahad Datu, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, RELA dan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kekuatan seramai 80 orang anggota.

 

Beliau berkata usaha itu perlu terus dilipatgandakan bagi memastikan persekitaran sejagat terus terjamin dan selamat demi kepentingan pembangunan sosio ekonomi sekitar pusat operasi.

 

“ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang manamana elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam akibat kebanjiran PATI khususnya di Pantai Timur Sabah,” katanya.