Usul Undi Percaya Terhadap Kepimpinan PM Akan Dibentang Petang Ini

Usul Undi Percaya Terhadap Kepimpinan PM Akan Dibentang Petang Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen akan membahaskan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang dijadual dibentang di Dewan Rakyat petang ini.

Memetik sumber Berita Harian, usul terbabit dijangka akan dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk serta Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Pandan yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengesahkan usul tersebut akan dibahaskan oleh Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.

“Saya akan turut terlibat berbahas hari ini ketika sesi perbahasan undi percaya kepada Kerajaan Perpaduan sekitar jam 3.30 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu ciapan di laman media sosial Twitter hari ini.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, usul dicadangkan itu antara lain dibentang ekoran keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang sudah menatijahkan situasi Parlimen tergantung di mana tiada parti politik atau gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

“Situasi berkenaan tidak pernah berlaku sepanjang sejarah negara ini. Idea penubuhan Kerajaan Perpaduan merupakan cerminan pandangan jauh serta keprihatinan Baginda Tuanku (Agong) demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

“Dengan ini, Dewan ini perlu mengambil ketetapan dan berikrar memberi sokongan sepenuhnya terhadap kepimpinan Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Tambun selaku Perdana Menteri bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya,” katanya memetik usul cadangan yang akan dibentangkan.