Koperasi Penyumbang Ketiga Terbesar Ekonomi Negara

Koperasi Penyumbang Ketiga Terbesar Ekonomi Negara

0
SHARE
Ewon
Ewon (dua dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Tun Juhar (tengah) sambil diperhatikan Hajiji (dua dari kanan) dan Kadzim (kanan) - ( Sumber Foto : Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Koperasi menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, gerakan koperasi membangun dengan pesat dan memberi manfaat kepada sosioekonomi masyarakat.

“Sumbangan gerakan koperasi melalui pengumpulan modal syer dan yuran adalah sebanyak RM17 billion manakala penjanaan aset pula berjumlah RM160 billion.

“Sementara itu, sumbangan perolehan koperasi mencecah RM45.5 billion menjadikannya penyumbang ketiga terbesar selepas sektor kerajaan dan swasta.

“Bermula dengan hasrat asal membantu penduduk luar bandar mengatasi masalah hutang, koperasi kini mengorak langkah menceburi enam sektor utama seperti perkhidmatan kewangan, pemborongan peruncitan, perladangan dan pelancongan,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan turut diserikan dengan kehadiran isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Ewon turut memaklumkan sebanyak 1,707 buah koperasi di Sabah telah didaftar menjadikan bilangan koperasi di negeri ini kedua tertinggi selepas Selangor.

“Dengan keanggotaan sekitar 350,000 orang, gerakan koperasi Sabah berjaya merekodkan perolehan sebanyak RM570 juta,” tambah beliau.

Dalam majlis tersebut, Ahli Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Kedah, Datuk Mat Rejab Kassim dinobat sebagai Tokoh Koperasi Negara 2023 manakala Anugerah Koperasi Premier Negara pula diberikan kepada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad, Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad, Koperasi NLFCS serta Koperasi Polis DiRaja Malaysia.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya dan isteri, Datin Noraini Salleh, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad, menteri-menteri kabinet negeri dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Rusli Jaafar. — JABATAN PENERANGAN SABAH