
PUTATAN, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N24 Tanjung Keramat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya ingin menambah bilangan usahawan dan usahawanita di daerah Putatan.
Katanya Pusat Khidmat Rakyat N.24 Tanjung Keramat komited dalam menganjurkan kursus-kursus kemahiran dan keusahawanan bagi mencapai matlamat ini.
Jelasnya, aspirasi beliau bagi melahirkan lebih ramai masyarakat yang berkemahiran dan berdaya saing mampu mempergiat aktiviti ekonomi serta perniagaan masyarakat setempat di daerah Putatan khususnya Tanjung Keramat.
“Ini untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan juga aktiviti-aktiviti perniagaan serta memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada mereka yang gigih berusaha,” katanya.
Shahelmey berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan kursus gunting rambut anjuran Pusat Khidmat Rakyat N.24 Tanjung Keramat di Putatan kelmarin.
Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berharap kemahiran yang diperolehi daripada kursus tersebut akan terus dipraktikkan untuk menambah kemahiran disamping boleh menjana pendapatan tambahan.
“Ilmu yang dipelajari ini boleh menjadi satu kerjaya di masa hadapan jika terus dipraktikkan…
“Apa yang penting ialah menimba ilmu, disiplin diri, rajin berusaha dan seterusnya uruslah kewangan dengan baik dalam memulakan perniagaan agar boleh maju ke hapadan,” katanya.
Seramai 20 orang belia daerah Putatan menyertai kursus yang dijalankan selama sepuluh (10) hari tersebut.
Para peserta didedahkan dengan kemahiran-kemahiran menggunting serta mendandan rambut daripada tenaga pengajar yang professional dari Institute Kecantikan Negeri Sabah (NUVIS).