Amalkan Prosedur Keselamatan Ketika Menyelam, Elak Risiko AGE – Penasihat Perubatan

Amalkan Prosedur Keselamatan Ketika Menyelam, Elak Risiko AGE – Penasihat Perubatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penyelam skuba diingatkan supaya sentiasa mengamalkan prosedur keselamatan ketika menyelam bagi mengelakkan risiko embolisme gas arteri (AGE), iaitu kecederaan serius yang boleh membawa maut.

Penasihat Perubatan Sabah Dive Squad Club, Dr Eugene Tan 陈俊利 berkata, peringatan itu wajar diberi perhatian susulan kematian seorang wanita berusia 31 tahun ketika menyelam di Pulau Tioman baru-baru ini, yang disahkan berpunca daripada AGE.

Beliau menjelaskan AGE berlaku apabila seseorang penyelam naik ke permukaan terlalu cepat sehingga udara yang mengembang di dalam paru-paru merosakkan tisu paru-paru sebelum memasuki saluran darah. Keadaan itu boleh menyekat aliran darah ke otak atau jantung dan mengancam nyawa.

“Susulan tragedi di Pulau Tioman, semua penyelam perlu mengingat semula amalan keselamatan asas ketika berada di bawah air.

“Jangan sesekali menahan nafas ketika naik ke permukaan. Sebaliknya, terus bernafas atau hembuskan nafas secara berterusan, terutama jika terpaksa membuat pendakian kecemasan.

“Cara paling mudah untuk mengingatinya ialah jangan naik ke permukaan lebih laju daripada gelembung udara yang anda hembuskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, penyelam juga perlu naik ke permukaan secara perlahan pada kadar kurang daripada sembilan hingga 18 meter seminit, selain melakukan hentian keselamatan selama tiga minit pada kedalaman lima meter sebelum meneruskan pendakian.

Dr Tan turut menegaskan kepentingan sistem rakan penyelam (buddy system), iaitu memastikan setiap penyelam sentiasa berada berhampiran pasangan selaman masing-masing.

Katanya, jika terpisah, penyelam hanya perlu mencari rakan selama tidak lebih daripada satu minit sebelum naik ke permukaan secara perlahan untuk berkumpul semula.

Beliau turut menasihatkan individu yang menghidap asma, jangkitan dada atau mengalami masalah paru-paru supaya tidak melakukan aktiviti selaman kerana berisiko tinggi mengalami komplikasi.

Dalam keadaan kecemasan, katanya, penyelam yang timbul ke permukaan dalam keadaan keliru atau tidak sedarkan diri perlu segera diberikan oksigen 100 peratus, dibaringkan dalam keadaan rata dan dihantar secepat mungkin ke pusat rawatan yang mempunyai ruang hiperbarik bagi mendapatkan rawatan segera.