KOTA KINABALU: Pemindahan operasi kenderaan roll-on roll-off (Ro-Ro), pembangunan kawasan penyimpanan kontena tambahan serta pelaksanaan 10 langkah penyelesaian interim menjadi antara tindakan segera Kerajaan Negeri Sabah bagi mengurangkan kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sementara menunggu projek pembesaran pelabuhan siap.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, semua langkah itu sedang dilaksanakan secara berperingkat dengan penglibatan pemain industri dan agensi berkaitan bagi meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan.
“Kita telah memperkenalkan 10 langkah penyelesaian interim bagi menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sementara menunggu projek pembesaran pelabuhan siap. Langkah-langkah ini mungkin belum sempurna, namun ia sedang dilaksanakan secara berperingkat dengan penglibatan semua pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-33 Sabah Freight Forwarders and Logistics Association (SAFFLA) di Dewan Hakka, di sini, Sabtu lalu.
Ewon berkata, Kerajaan Negeri melalui kementeriannya sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada pemain industri, termasuk SAFFLA, dalam usaha menambah baik kecekapan operasi pelabuhan di Sabah.
Menurutnya, SAFFLA juga merupakan antara ahli Pasukan Petugas (Task Force) yang dipengerusikannya bagi memantau pelaksanaan 10 langkah interim berkenaan.
Beliau berkata, selain pemindahan operasi Ro-Ro dan penyediaan kawasan penyimpanan kontena tambahan, kerajaan turut melaksanakan penambahbaikan infrastruktur pelabuhan serta meneliti rayuan berkaitan semakan caj pelabuhan yang dikemukakan SAFFLA.
Dalam masa sama, katanya, kementeriannya sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi berkaitan bagi merealisasikan operasi 24 jam di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.
“Kita mahu memastikan keseluruhan ekosistem ini memberi situasi menang-menang kepada semua pemegang taruh. Tugas saya sebagai pemimpin ialah memastikan penyelesaian dapat dicapai dan saya telah memberikan komitmen,” katanya.
Ewon turut memaklumkan bahawa dua kren baharu akan diterima minggu hadapan untuk Pelabuhan Tawau dan Pelabuhan Lahad Datu sebagai sebahagian usaha memperkukuh kapasiti operasi pelabuhan di Sabah.
Beliau berharap sebahagian besar isu berkaitan pelabuhan di negeri ini dapat diselesaikan menjelang akhir tahun hadapan sekali gus meningkatkan kecekapan operasi logistik serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.






