Cadangan Pembinaan Box Culvert, Jajaran Sungai Baharu Diteliti Atasi Banjir di Lumadan

Cadangan Pembinaan Box Culvert, Jajaran Sungai Baharu Diteliti Atasi Banjir di Lumadan

0
SHARE

BEAUFORT: Cadangan pembinaan box culvert, pembesaran dan pendalaman sungai serta pembukaan jajaran sungai baharu kini diteliti sebagai antara langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko banjir yang sering melanda beberapa kawasan di Lumadan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, cadangan itu dikenal pasti hasil lawatan bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.34 Lumadan serta agensi teknikal kerajaan ke beberapa lokasi yang kerap dilanda banjir.

Menurut beliau, penglibatan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) membolehkan penilaian teknikal dibuat secara menyeluruh bagi mengenal pasti penyelesaian paling sesuai mengikut keadaan di lapangan.

Lawatan ini penting bagi membolehkan agensi teknikal membuat penilaian lebih menyeluruh terhadap keperluan di lapangan, termasuk cadangan pembinaan box culvert, pembesaran dan pendalaman jajaran sungai sedia ada serta cadangan jajaran sungai baharu bagi membantu meningkatkan kelancaran aliran air,” katanya.

Beliau berkata, keadaan hujan semasa lawatan memberi peluang kepada semua agensi melihat sendiri aliran air dan keberkesanan sistem saliran di kawasan yang sering terjejas apabila berlaku hujan berterusan.

Katanya, antara lokasi yang diberi perhatian ialah Jalan Bangkalalak, Jalan Suasa dan Jalan Batandok Lubak yang kerap dilanda banjir sehingga menjejaskan laluan serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya akibat arus deras.

Ruslan berkata, penglibatan Jabatan Tanah dan Ukur turut penting bagi memastikan cadangan jajaran sungai baharu dapat dilaksanakan melalui laluan yang bersesuaian, selain mengelakkan gangguan terhadap tanah milik persendirian.

“Hasil lawatan ini akan membantu agensi berkaitan menyediakan penilaian teknikal dan anggaran kos untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi pertimbangan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berharap usaha bersepadu antara semua agensi teknikal dapat memperkukuh sistem saliran di N.34 Lumadan sekali gus mengurangkan impak banjir serta meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.