KOTA KINABALU, SABAH – Kebenaran untuk ‘dine-in’ (makan di dalam) restoran di Sabah masih dikekalkan.
Menurut sumber daripada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), arahan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebelum ini untuk membenarkan ‘dine-in’ di negeri ini
masih kekal berkuatkuasa.
Sejak semalam, rakyat Sabah menghujani ruangan komen Facebook rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan pertanyaan adakah ‘dine-in’ masih dibenarkan di Sabah atau sebaliknya berikutan SOP yang kurang jelas mengenai pengusaha makanan bermasak (restoran dan gerai makan).
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini (28 Jun) telah bertindak berani apabila mengumumkan untuk membenarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi beroperasi lebih awal selepas dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan iaitu pada 15 Jun yang lalu.
Walaupun mendapat tentangan dari Kerajaan Persekutuan, namun ketegasan Kerajaan GRS mempertahankan keputusan membuka beberapa sektor ekonomi lebih awal dalam fasa pemulihan ekonomi negeri Sabah jelas mendapat sokongan padu daripada seluruh rakyat Sabah.
Malahan penganalisis politik turut menyatakan hasil kajian rambang yang dibuat ke atas rakyat Sabah, sokongan kepada Datuk Seri Hajiji telah meningkat sehingga 300 peratus.
“Kerajaan Negeri Sabah mempunyai asas kukuh untuk membenarkan pembukaan operasi perniagaan lebih awal memandangkan kes jangkitan Covid-19 berjaya dikawal dengan baik.”
Dalam pada itu, tangkap layar pertanyaan rakyat Sabah kepada Datuk Seri Panglima Masidi Manjun turut tular di media sosial Facebook dan sebaran aplikasi WhatsApp.
Masidi menyatakan sepatutnya ‘dine-in’ hanya dibenarkan di dalam Fasa ke-3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), tetapi Kerajaan GRS telah membuat keputusan untuk membukanya lebih awal.